NANCY (tengah) cuba menenun songkat pada majlis Pelancaran Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf Peringkat Negeri Terengganu. FOTO Ghazali Kori
NANCY (tengah) cuba menenun songkat pada majlis Pelancaran Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf Peringkat Negeri Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Ahmad Rabiul Zulkifli

Terengganu tidak asing lagi sebagai negeri yang mengeluarkan pelbagai kraf tangan yang berkualiti di negara ini.

Sebut saja songket, barangan tembaga, batik dan ukiran kayu pasti sudah terkenal dengan identitinya yang tersendiri bukan hanya dalam negara malah hingga ke luar negara.

Oleh itu, tidak hairanlah enam anak jati negeri ini yang memiliki pelbagai kepakaran dalam bidang kraf tangan masing-masing diangkat sebagai Adiguru Kraf Negara dan dua daripadanya dianugerahkan Tokoh Kraf Negara bagi 2002 serta 2007.

Zainab @ Ngah Mamat, 79, dari Kuala Terengganu yang mahir dalam bidang tenunan songket mendapat pengiktirafan sebagai Tokoh Kraf Negara pada 2002 manakala Habibah Zikri, 73, dari Kuala Terengganu yang juga mahir dalam bidang sama dianugerahkan Tokoh Kraf Negara 2007.

Sementara itu, Norhaiza Noordin, 58, dari Besut diangkat sebagai Adiguru dalam bidang ukiran, Wan Manang Wan Awang, 67, dari Kuala Terengganu (songket), Kelsom Abdullah, 67, dari Marang (anyaman mengkuang) dan Salleh Mohd, Kuala Terengganu, 76, (pertukangan tembaga).

Zainab @ Ngah atau lebih mesra dipanggil Mak Ngah berkata, dia mula belajar menenun songket sejak berusia belasan tahun daripada keluarganya.

ZAINAB memperincikan tenunan songket yang dihasilkannya.FOTO Ghazali Kori
ZAINAB memperincikan tenunan songket yang dihasilkannya.FOTO Ghazali Kori

"Minat yang mendalam menyebabkan saya terdorong untuk mempelajarinya dan terbabit secara serius dengan kegiatan itu sehingga sekarang.

"Tidak pernah bermimpi untuk sampai ke tahap sekarang dalam bidang itu, semuanya kerana rezeki, berkat kesungguhan dan kesabaran.

"Saya hanya meneruskan perniagaan itu walaupun kerap kali perniagaan songket merosot. Usaha tetap diteruskan untuk memajukan industri songket hingga sekarang," katanya ketika ditemui di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Ia sempena majlis Pelancaran Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf Peringkat Negeri Terengganu yang dirasmikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. Turut sama ialah Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.

Katanya, industri kraf tangan perlu diperjuangkan bukan hanya songket malah apa saja jenis kraf tangan yang dihasilkan di Terengganu dan negeri lain perlu sentiasa diberi sokongan.

NANCY diiringi Ibrahim (dua dari kiri) dan Timbalan Pengerusi 1 Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu, Sulaiman Sulong (kiri) ke ruang pameran. FOTO Ghazali Kori
NANCY diiringi Ibrahim (dua dari kiri) dan Timbalan Pengerusi 1 Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu, Sulaiman Sulong (kiri) ke ruang pameran. FOTO Ghazali Kori

"Dalam era pemodenan sekarang tidak ramai anak muda yang didedahkan dengan kemahiran menghasilkan kraf tangan.

"Jika dibiarkan fenomena itu, saya yakin industri kraf tangan boleh berkubur kerana tiada lagi generasi baharu yang berminat mewarisinya.

"Oleh itu, Adiguru dalam pelbagai kategori yang terpilih perlu memainkan peranan penting dalam memastikan ilmu dan kemahiran mereka diwarisi serta tidak terhenti untuk dirinya

Katanya, dia bukan saja menghasilkan songket Terengganu dengan menjaga keaslian dan identitinya, tetapi pada masa sama melahirkan pakar penenun songket yang bertauliah.

"Sampai sekarang, lebih lima penenun songket dalam kalangan belia dilatih sambil bekerja di bengkel tenunan songket saya.

"Mereka diajar sehingga mahir dan pada masa sama diupah. Proses belajar menenun juga lebih mudah sekarang kerana mereka tidak bergantung hanya kepada tenaga pengajar, tetapi turut boleh belajar melalui saluran YouTube dan saluran lain di media sosial," katanya.

Menurutnya, paling penting untuk menceburi bidang kraf tangan seperti songket itu ialah minat dan kesungguhan.

"Saya boleh bertahan dalam bidang itu kerana minat yang mendalam dan kesungguhan untuk memartabatkan songket Terengganu, ia menjadi rahsia kejayaan saya sekarang," katanya.

KELSOM bersama koleksi tikar mengkuangnya. FOTO Ghazali Kori
KELSOM bersama koleksi tikar mengkuangnya. FOTO Ghazali Kori

Sementara itu, Wan Manang pula berkata, dia menjalin kerjasama dengan Institut Kraf Negara (IKN) dalam melahirkan penenun songket generasi baharu dalam kalangan belia.

"Saya sediakan bengkel khas berdekatan rumah sebagai tempat untuk penuntut IKN menjalankan praktikal dan menimba ilmu berkaitan kemahiran menenun di lapangan.

"Sebahagiannya terdiri daripada penduduk setempat yang tiada pekerjaan dan berminat belajar menenun songket.

"Mereka dilatih di bawah tajaan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dengan pemberian elaun bulanan yang agak lumayan," katanya.

Katanya, dia berasa bertanggungjawab untuk memastikan produk songket Terengganu sentiasa dihasilkan dan ada kesinambungan.

"Sudah ramai yang berjaya dilatih dan sebahagiannya sudah berdikari dan menjalankan perniagaan songket sendiri.

"Jika tidak diangkat sebagai Adiguru Kraf sekalipun, saya tetap meneruskan tanggungjawab sebagai tenaga pengajar dan tempat rujuk kepada penenun songket muda.

"Bagaimanapun, selepas mendapat pengiktirafan Adiguru Kraf pada 2019, saya berasa lebih bertanggungjawab sekarang untuk memastikan perusahaan kraf tangan songket mempunyai kesinambungan," katanya.

SALLEH bersama sebahagian koleksi kraf tembaganya. FOTO Ghazali Kori
SALLEH bersama sebahagian koleksi kraf tembaganya. FOTO Ghazali Kori

Di samping itu, Norhaiza atau lebih terkenal dengan panggilan Abang Ja berkata, dia bermula dengan ukiran keris sebelum mengembangkan ke seni ukiran kayu yang jauh lebih mendapat sambutan.

"Satu pengiktirafan kepada saya apabila diiktiraf sebagai Adiguru Kraf Ukiran dan ia pasti berserta dengan tanggungjawab yang perlu digalas sesuai dengan jolokan Adiguru itu.

"Sebenarnya antara tugas Adiguru itu sudah saya amalkan sejak dahulu lagi iaitu mengajar dan mewariskan ilmu ukiran kepada golongan muda yang berminat.

"Bukan sekadar mengukir malah jenis ukiran dan ilmu berkaitan seni ukiran secara keseluruhan juga diajar supaya tukang ukir baharu yang dilahirkan tidak hanya pandai mengukir, tetapi juga berpengetahuan luas tentang jenis ukiran.

"Paling penting dan selalu saya tekankan dan perjuangkan ialah berkaitan identiti serta kesenian ukiran tradisional dan warisan Terengganu," katanya.

Katanya, ramai anak didik yang sudah berjaya dalam bidang ukiran masing-masing malah ada yang mempunyai bengkel ukiran dan menjalankan perniagaan sendiri.

NORHAIZA bersama sebahagian koleksi ukiran kayu yang dihasilkan. FOTO Ghazali Kori
NORHAIZA bersama sebahagian koleksi ukiran kayu yang dihasilkan. FOTO Ghazali Kori

"Bukan soal siapa yang lebih hebat dalam ukiran, tetapi mempertahankan warisan kraf tangan tempatan yang kian ditelan pemodenan.

"Kejayaan mereka dalam bidang ukiran tidak menjadikan mereka lupakan saya, malah saya tetap menjadi tempat rujukan mereka sehingga sekarang," katanya yang mendapat pengiktirafan sebagai Warisan Kebangsaan Orang Hidup daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada 2018.

Menurutnya, dia berharap usaha untuk mengembangkan dan memperjuangkan industri kraf tangan diterus oleh semua pihak di samping sokongan orang ramai terhadap barangan kraf tangan tempatan juga diperlukan.

Kementerian Kewangan (MOF) meluluskan pengunaan Jadual Kadar Harga Ukiran Kayu yang akan menjadi panduan bagi pengiraan kos untuk perolehan sesuatu kerja berkaitan ukiran kayu.

Ia dapat membantu melindungi kebajikan syarikat ukiran kayu yang berdaftar untuk menerima bayaran setimpal dengan rekaan motif, kehalusan kerja dan nilai estetik ukiran kayu yang dihasilkan.

Usaha ini selari dengan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia mengenai Perolehan Perkhidmatan Ukiran Kayu dan Jadual Kadar Harga yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2021.

Seramai 126 usahawan telah membuat permohonan bagi mendapatkan Sijil Akuan Pendaftaran Syarikat Ukiran Kayu dari Kraftangan Malaysia. Daripada jumlah ini, seramai 23 adalah usahawan kraf kayu di Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 7:01 AM