BERNAMA

Kuala Lumpur: Dalam operasi gempur pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak semalam di sekitar kawasan Cameron Highlands, Pahang, 39 PATI ditahan dalam sekatan jalan raya dan di dalam kawasan hutan.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mereka yang ditahan membabitkan warga negara Bangladesh, India, Myanmar, Indonesia dan Nepal.

“Kita jalankan operasi ini sejak semalam (kelmarin) di seluruh kawasan di Cameron Highlands termasuk di kawasan terpencil dan di dalam hutan. Hasilnya 39 PATI ditahan iaitu sembilan ditahan dalam sekatan jalan raya, manakala 30 lagi ditahan di dalam hutan.

“Daripada 30 PATI yang ditahan ini, ada antara mereka yang cuba bersembunyi di dalam hutan dan ada juga di antara mereka yang menjadikan kawasan hutan sebagai tempat tinggal,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Wan Mohd Zahari berkata operasi itu turut disertai pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menggempur lokasi tertentu yang menjadi tumpuan PATI dalam kegiatan pembukaan tanah secara haram di kawasan tanah tinggi itu khususnya pada waktu malam.

“Operasi ini akan dijalankan secara berterusan termasuk melalui sekatan jalan raya dan rondaan,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM menggerakkan anggota ke Cameron Highlands untuk menggempur kegiatan pembukaan tanah secara haram di tanah tinggi itu pada waktu malam.

Menurutnya, langkah itu diambil susulan perbincangannya dengan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, berdasarkan laporan bahawa kegiatan itu sering dilakukan oleh Pati pada waktu malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:06 AM