WAN Rosdy (dua kanan) dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Roslan Rani melihat pokok Albizia pada Majlis Pelancaran Projek Perhutanan Semula dalam hutan simpan kekal Pahang di Hutan Simpan Tersang. FOTO Mohd Rafi Mamat
WAN Rosdy (dua kanan) dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Roslan Rani melihat pokok Albizia pada Majlis Pelancaran Projek Perhutanan Semula dalam hutan simpan kekal Pahang di Hutan Simpan Tersang. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Raub: Kerajaan Pahang kesal dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan hutan simpan Kampung Raja, Blue Valley, Cameron Highlands, minggu lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kejadian tanah runtuh dapat dielakkan sekiranya aktiviti penerokaan secara haram hutan simpan tidak dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, pihak terbabit degil walaupun larangan dikeluarkan kerajaan negeri terhadap sebarang kegiatan menceroboh hutan simpan di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands.

"Pelbagai usaha pencegahan kegiatan menceroboh hutan simpan dilakukan pihak berkuasa secara berterusan namun kegiatan berkenaan masih terus berlaku.

"Kerajaan negeri memandang serius aktiviti pencerobohan hutan simpan di Cameron Highlands oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengusahakan projek pertanian berskala besar.

"Saya berharap Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan agensi penguatkuasa lain dapat terus memperhebatkan usaha mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di Cameron Highlands bagi memastikan kejadian tanah runtuh tidak terus berlaku hingga mengorbankan nyawa," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Perhutanan Semula dalam hutan simpan kekal Pahang di Hutan Simpan Tersang, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatakuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal; Pengarah Amat Bayu Sdn Bhd, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Roslan Rani.

Wan Rosdy menambah, kejadian tanah runtuh yang berlaku di Cameron Highlands yang mengorbankan lima nyawa pekebun sayur sedikit sebanyak menjejaskan imej negeri ini.

Katanya, bagi memberi kesedaran pada pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti penerokaan hutan simpan secara haram selain melombong dan memindahkan balak secara haram, tindakan tegas mengheret mereka segera ke mahkamah kini dilakukan sebaliknya tidak lagi dikenakan kompaun seperti mana sebelum ini.

Mengenai projek perhutanan semula, beliau berkata projek berkenaan cukup penting terutamanya dalam memastikan pemuliharaan dan pemeliharaan hutan di negeri ini dapat terus dipergiatkan.

Katanya, projek perhutanan semula di Pahang bermula tahun 2000 membabitkan kawasan seluas 404.69 hektar, sehingga tahun lalu, kawasan seluas 34,342.22 hektar telah dibangunkan.

"Kali ini Syarikat Amat Bayu membangunkan kawasan seluas 20,303.27 hektar di Hutan Simpan Tersang dengan tanaman pokok Albizia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 3:49 PM