SEBAHAGIAN daripada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dikumpulkan selepas operasi mengejut di sekitar pekan Ringlet, Tanah Rata, Brinchang, Kuala Terla dan Kampung Raja di Cameron Highlands. FOTO Supian Ahmad
SEBAHAGIAN daripada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dikumpulkan selepas operasi mengejut di sekitar pekan Ringlet, Tanah Rata, Brinchang, Kuala Terla dan Kampung Raja di Cameron Highlands. FOTO Supian Ahmad
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Cameron Highlands: Seramai 181 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan melalui operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di beberapa kawasan di sini hari ini.

Operasi yang dinamakan Ops Gempak Mesra itu dijalankan bagi menangkap warga asing yang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan dan gerai jualan di seluruh Cameron Highlands hari ini.

Dalam operasi itu, seramai 581 warga asing diperiksa dan 181 daripadanya didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit pekerjaan yang sah.

Timbalan Ketua Pengarah Imegresen (Kawalan), Datuk Sakib Kusmi berkata, operasi yang dilaksanakan itu adalah rentetan daripada liputan media masa yang melaporkan wujud ramai PATI di sekitar kawasan Cameron Highlands khususnya dalam sektor pertanian hingga membimbangkan penduduk setempat.

"Pemeriksaan dilakukan di kawasan yang menjadi tumpuan sebagai mana dilaporkan media," katanya kepada pemberita selepas selesai mengikuti operasi itu di sini sebentar tadi.

Operasi yang membabitkan seramai 369 pegawai penguatkuasa Imigresen dari seluruh Semenanjung Malaysia itu adalah yang pertama seumpamanya dilaksanakan bagi membasmi kegiatan PATI tanpa membabitkan agensi kerajaan yang lain.

Katanya, dianggarkan terdapat kira-kira 11,016 warga asing berdaftar dan bekerja dalam pelbagai sektor di Cameron Highlands.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:23 PM