ANGGOTA JPSM dan APM memusnahkan kebun sayur yang ditanam di kawasan hutan simpan.
ANGGOTA JPSM dan APM memusnahkan kebun sayur yang ditanam di kawasan hutan simpan.
Mohd Rafi Mamat

Cameron Highlands: Tindakan seorang pekebun sayur menceroboh kawasan seluas 1.6 hektar di Hutan Simpan Batu Gangan, di sini, untuk menanam pelbagai sayur mengundang padah apabila semua tanamannya dimusnahkan pada Ops Musnah, kelmarin.

Operasi bersepadu dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) itu disertai 75 anggota dan mendapat kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands Nurul Hidayah Hazudha berkata, pemeriksaan sempadan dilakukan mendapati sebahagian kebun sayur yang terletak di atas bukit itu berada dalam kawasan hutan simpan kerajaan.

Menurutnya, pihaknya mendapati pemilik kebun berkenaan meluaskan kebun sayur sedia ada bagi menanam jagung, kacang buncis dan ketumbar sehingga menceroboh kawasan seluas 1.6 hektar hutan simpan itu.

“Kami memusnahkan tanaman sayur yang berada dalam kawasan hutan simpan itu mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

“Ini kali pertama Bahagian Penguatkuasaan Hutan JPSM dan APM mengadakan operasi bersepadu di Cameron Highlands selepas penubuhan Renjer Hutan APM yang bertujuan membantu renjer hutan JPSM membanteras aktiviti kesalahan hutan.

“Penyertaan 39 anggota APM melancarkan lagi operasi ini yang berlangsung selama tiga jam,” katanya yang turut sama menyertai operasi itu.

Nurul Hidayah berkata, operasi bermula dari jam 9 pagi itu dibantu Unit Penguat kuasa Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan kakitangan PHD Cameron Highlands.

Katanya, perjalanan untuk sampai ke kebun sayur itu mengambil masa 45 minit dari jalan utama dengan melalui laluan sempit, bukit berbatu dan projek tanaman sayuran.

“Selepas ini, lebih banyak kerjasama seumpama itu akan diadakan di Pahang. Saya yakin aktiviti menceroboh hutan simpan untuk dijadikan kebun sayur di Cameron Highlands dapat diatasi dengan adanya operasi bersepadu antara JPSM, JPNP dan APM,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi APM Mohd Rusman Abdullah berkata, Ops Musnah berjalan lancar tanpa kejadian tidak diingini.

“Selain memusnahkan sayuran ditanam dalam kawasan hutan simpan, kami memotong pokok tumbang yang menghalang laluan ke kawasan kebun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 5:18 AM