Muhammad Saufi Hassan

Kedai fizikal penjualan perkakas rasmi Apple, Apple Store memperlihatkan pengalaman eksklusif pertama mereka sebelum dibuka kepada umum pada Sabtu ini.

Apple Store berkenaan yang terletak di 'The TRX Exchange' memberi definisi baharu kepada pengalaman kepenggunaan serta pembelian untuk semua variasi produk keluaran jenama itu.

Pelanggan boleh merasai dan membeli pelbagai barisan produk dan perkhidmatan Apple yang inovatif dan memanfaatkan sepenuhnya peranti mereka melalui sesi percuma 'Today di Apple.'

Naib Presiden Kanan Bahagian Runcit Apple, Deirdre O'Brien berkata, pihaknya teruja dengan pembukaan Apple Store pertama di negara ini.

"Menerusi pembukaan ini, kita dapat menyokong dan berhubung secara langsung dengan komuniti baharu dan ia sentiasa menjadi pengalaman istimewa untuk pasukan runcit kami serta kami tidak sabar untuk mengalu-alukan pelanggan ke kedai fizikal ini," katanya.

Pengguna boleh menikmati pengalaman unik menerusi barisan peranti iPhone 15 sehingga kepada perkakas MacBook Air dengan cip pemproses M3 dan generasi baharu iPad terkini.

Apple The Exchange TRX akan menjadi hab pendidikan yang memberi inspirasi, menawarkan pelanggan sesi dalam kedai percuma melalui Today at Apple. 

Ia akan dilaksanakan menerusi Apple Creatives, acara ini akan memperkasakan peserta untuk memanfaatkan kreativiti mereka dan mempelajari cara memanfaatkan sepenuhnya peranti dengan topik yang terdiri daripada pelajaran asas.

Sempena pembukaan Apple Store, Sabtu ini, pelanggan akan menikmati sesi 'Jom Discover' yang menampilkan pempengaruh terkemuka untuk memberi manfaat penuh kepada peranti Apple.

Seperti semua kemudahan Apple, Apple The Exchange TRX dioperasikan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui dan neutral karbon. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 1:18 PM