ANTARA model iPod yang dikeluarkan Apple. FOTO Reuters
ANTARA model iPod yang dikeluarkan Apple. FOTO Reuters
EFE

Washington: Syarikat teknologi Apple mengumumkan akan menghentikan pengeluaran iPod, peranti muzik yang dilancarkannya pada 2001.

Syarikat Amerika Syarikat itu berkata dalam satu kenyataan, semalam bahawa iPod Touch terbaharu yang juga model iPod terbaharunya akan dijual sementara stok masih ada.

Apple berkata, lebih 20 tahun "iPod memikat pengguna di seluruh dunia yang gemar dapat membawa muzik bersama mereka ke mana sahaja," tetapi fungsi ini kini didapati dalam produk lain syarikat itu, seperti iPhone, Apple Watch, iPad dan Mac.

"Muzik sentiasa menjadi teras Apple, dan membawanya kepada ratusan juta pengguna seperti dilakukan iPod bukan sahaja memberi kesan kepada industri muzik, tetapi juga mentakrifkan semula cara muzik ditemui, didengar dan dikongsi," kata Naib Presiden Pemasaran Apple Greg Joswiak dalam kenyataan itu

Joswiak berkata, "semangat iPod akan terus kekal" dalam semua produk Apple lain yang membolehkan muzik dimain dan dikongsi.

Peranti muzik digital pertama Apple yang dikenali sebagai iPod diperkenalkan pada Acara Muzik Apple pada Oktober 2001.

iPod pertama mempunyai kapasiti 5 dan 10 gigabyte (GB) dan reka bentuk moden serta kualiti muzik hebat.

Namun, kaitan iPod dengan iTunes Store yang membolehkan pengguna membeli lagi secara maya menjadikan Apple sebagai pembekal kandungan multimedia.

Apple melancarkan model iPod touch terbaharu dengan kapasiti 32 dan 128 GB pada 2019 dengan penambahan fungsi telefon pintar tetapi membezakannya daripada iPhone apabila pengguna tidak boleh membuat panggilan atau menghantar mesej teks.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 3:08 PM