TUAN Norsuzlia bersyukur kerana keluarga lebih teratur dan anak membesar depan mata selepas berhenti kerja.
TUAN Norsuzlia bersyukur kerana keluarga lebih teratur dan anak membesar depan mata selepas berhenti kerja.
Siti Nadirah Hafidzin

HATINYA lembut namun pendiriannya tegas. Penampilan sopan, tetapi gerak kerjanya pantas, tampak lemah namun hakikatnya sangat kuat terutama dalam mengharungi liku kehidupan saban hari.

Betapa hebatnya perumpamaan yang boleh diberikan khusus buat insan bergelar wanita. Mana tidaknya, peranan wanita masa kini sangat besar terutama dalam menggalas tanggungjawab sebagai ibu.

Tanpa menghiraukan kepenatan dirasai, kesedihan dialami dan keperitan dihadapi, wanita tetap utuh berdiri menjalankan tugasnya dalam memastikan ‘makan pakai’ suami terjaga dan cahaya mata dapat membesar dengan sempurna.

Perkenalan penulis dengan wanita berjiwa kental ini berlaku secara tidak langsung ketika kami melahirkan cahaya mata pada tarikh yang sama, 28 Julai 2017 dan di hospital sama.

Dia menyapa mesra dan bertanya khabar ketika kami bersama-sama mengikuti kelas khas ibu dan bayi di Hospital Bersalin Razif sehari selepas selamat bersalin.

Melihat pengetahuan dan pengalamannya dalam menguruskan bayi ketika di kelas membuatkan hati penulis terdetik untuk bertanya jumlah cahaya mata yang dimilikinya.

Sambil tersenyum manis, dia menjawab itu adalah cahaya mata yang keenam buatnya dan suami. Hubungan penulis dengan pemilik nama, Tuan Norsuzlia Idayu Tuan Hussin, 36, berterusan hingga kini. Selain mudah mesra, wanita manis ini gemar berkongsi rutin hariannya di media sosial yang membuatkan penulis kagum dan ingin lebih mengenalinya terutama dalam mendidik anak.

Berkongsi kisah hidup yang penuh inspirasi kepada wanita terutama apabila dia sanggup berhenti bekerja demi membesarkan anak, Tuan Norsuzlia Idayu berkata, tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu tidak semudah disangka kerana cabarannya cukup besar.

Memulakan bicara, ibu kepada enam cahaya mata yang kini bergelar suri rumah itu berkata, dia mula bekerja sambilan sejak berusia belasan tahun iaitu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya memang tidak suka duduk diam di rumah dan disebabkan itu, saya bekerja untuk mengumpul pengalaman dan wang poket sendiri.

“Saya kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan sebelum mula bekerja sepenuh masa sejak 2004. Walaupun selepas berkahwin dan memiliki cahaya mata, saya masih terus bekerja atas sebab minat di samping sedikit sebanyak dapat membantu kewangan keluarga,” katanya.

Menurutnya, ketika disahkan hamil anak kelima iaitu pada 2015, dia akhirnya akur untuk membuatkan keputusan berhenti bekerja demi anak.

“Bohonglah jika saya katakan okey ketika itu kerana sudah terbiasa bekerja. Bayangkan selepas SPM lagi sudah bekerja sambilan namun saya perlu kuat meneruskan keputusan ini demi keluarga.

“Anak semakin bertambah dan memerlukan saya berada di rumah menguruskan semua keperluan mereka. Syukur suami sangat membantu dalam memberi sokongan ketika itu,” ujarnya.

Katanya, kehidupannya berubah sama sekali namun dia sangat bersyukur kerana hidupnya sekeluarga semakin teratur dengan adanya seorang ibu yang menguruskan rumah tangga sepenuhnya.

“Walaupun pada mulanya pahit kerana terpaksa melepaskan kerjaya, kini saya dapat rasai kemanisan di sebaliknya. Jika dulu, saya sangat terkejar-kejar terutama dari segi masa untuk menguruskan semua hal ehwal rumah tangga dan anak namun kini semuanya semakin teratur serta mudah.

“Bayangkan jika dulu, saya sangat kelam-kabut, habis saja waktu bekerja saya mengambil anak di sekolah dan pengasuh, tiba di rumah saya perlu pastikan mereka diuruskan dengan baik seperti mandi, makan, mengaji, solat serta menyiapkan tugasan sekolah. Pada masa sama, saya juga perlu pastikan keadaan rumah dalam keadaan baik sementara menunggu suami pulang kerja.

“Betapa penatnya saya ketika itu, tetapi disebabkan sudah terbiasa, semuanya berjalan seperti biasa namun kini semuanya sudah berubah,” katanya.

CABARAN BERGELAR SURI RUMAH

Siapa kata menjadi suri rumah itu mudah? Hakikatnya tugas seorang suri rumah juga sangat mencabar dan memerlukan pengorbanan yang tinggi.

“Kini walaupun saya tidak lagi perlu terkejar-kejar dengan kerja di pejabat namun di rumah juga ada cabarannya. Saya mempunyai anak yang bersekolah dan yang paling kecil berusia dua tahun.

“Bangun sebelum Subuh dan saya perlu siapkan sarapan anak dan suami sambil mengejutkan mereka bangun untuk ke sekolah. Selesai anak ke sekolah, saya perlu membersihkan rumah, membasuh pakaian, memasak sambil menjaga anak yang tidak bersekolah. Kerja saya seakan-akan tidak habis dalam waktu sehari namun disebabkan reda dan rasa kasih terhadap keluarga, semuanya berjalan dengan baik,” katanya.

Menurutnya, dia juga bersyukur kerana dianugerahkan seorang suami yang sangat memahami dan prihatin.

TUAN Norsuzlia bersama suami dan anak tersayang.
TUAN Norsuzlia bersama suami dan anak tersayang.

“Apabila hujung minggu atau ketika suami tidak bekerja, dia benarkan saya keluar bersendirian ke spa atau mana saja yang disukai bagi memastikan saya tidak terlalu tertekan. Ketika itu, semua anak dijaganya sendiri di rumah dan saya berasa sangat bersyukur atas peluang ini.

“Dalam kepadatan rutin harian menguruskan anak dan rumah tangga, saya tetap curi masa untuk berniaga kecil-kecilan. Saya menjual kek brownies di samping membantu suami menjalankan perniagaan menjual pelbagai jenis menu pantai timur setiap pagi.

“Ada yang bertanya bagaimana saya uruskan masa kerana walaupun sibuk tetap boleh berniaga kecil-kecilan. Jawapan saya mudah. Kita buang istilah malas dan susun jadual harian dengan betul,” ujarnya.

Katanya, walaupun sentiasa kurang waktu rehat dan tidur yang tidak menentu, dia yakin semua itu berbaloi apabila dapat melihat anak membesar di depan mata hasil usaha sendiri.

“Saya tidak katakan ibu yang bekerjaya itu tidak baik bahkan mereka lebih perlu dihargai kerana sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu suami. Senang kata, setiap ibu sama ada yang bergelar suri rumah atau bekerja itu perlu disayangi dan dihargai sama rata atas apa yang mereka lakukan.

“Kini selepas hampir empat tahun bergelar suri rumah, banyak yang saya pelajari terutama dari aspek syukur dan reda. Jangan banyak mengeluh kerana wanita dilahirkan dengan semangat dan kekuatan luar biasa yang tiada pada lelaki. Hargailah masa anda bersama keluarga terutama anak dan pada masa sama hargai diri sendiri serta jangan banyak tertekan,” katanya.

Menurutnya, dia yakin setiap wanita itu ada kisah dan pengorbanan tersendiri dan bersyukurlah dengan kehidupan yang dimiliki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 8:02 AM