URUS keluarga, Diaz belum terfikir kembali aktif berlakon semula.
URUS keluarga, Diaz belum terfikir kembali aktif berlakon semula.
Susunan Najiy Jefri


SELEPAS kali terakhir muncul dalam filem Annie pada 2014, pelakon Cameron Diaz enggan memikirkan soal glamor atau populariti lagi.

Menurut bintang terkenal berusia 49 tahun itu, dia mengakui seronok bergelar ibu kepada anak perempuannya, Raddix yang berusia setahun.

Selain menjaga anak, Diaz juga sibuk mengusahakan perniagaan minuman organik yang dilakukan bersama rakan niaganya, Katherine Power.

"Saya kini sibuk menguruskan perniagaan minuman selain menguruskan rumah tangga. Menjaga mereka (suami dan anak) adalah pekerjaan paling seronok yang pernah saya lakukan sepanjang hidup.

"Ia sememangnya perkara yang saya sangat nanti-nantikan sebelum ini dan akhirnya dapat merasai apa yang diimpikan itu," katanya.

Meskipun kenyataan yang diberikan Diaz seakan-akan memberi gambaran untuk mengundurkan diri daripada lakonan, dia bagaimanapun tidak menolak kemungkinan membuat kemunculan semula jika didatangi tawaran yang benar-benar berbaloi.

"Saya tidak berkata akan berhenti daripada berlakon. Saya bukan jenis sebegitu. Cuma buat masa sekarang, memang saya tiada keinginan untuk kembali ke arah itu (berlakon).

"Tetapi mungkin pada masa akan datang, saya boleh berubah fikiran," katanya.

Tambah Diaz, antara sebab utama dia seakan berat hati untuk kembali berlakon kerana terpaksa berpisah dengan anak tunggalnya.

DIAZ bersama suami tercinta, Madden.
DIAZ bersama suami tercinta, Madden.

"Saya tak dapat bayangkan, bagaimana akan meninggalkan anak untuk sementara waktu dalam tempoh yang panjang.

"Kalau saya bekerja dan berada di set penggambaran, ia akan mengambil masa 16 jam sehari. Saya rasa tak mampu nak berjauhan dengan anak pada ketika ini," katanya.

Diaz berkahwin dengan penyanyi Benji Madden pada 2015. Pasangan bahagia ini dikurniakan seorang cahaya mata bernama Raddix yang berusia setahun.

"Saya bersyukur dengan kehidupan dan kenikmatan bersama anak dan keluarga sekarang. Tak sangka, saya kini bergelar seorang ibu.

"Ia saat-saat indah yang sukar saya gambarkan. Saya kini ibarat wanita paling bahagia yang memiliki kehidupan cukup lengkap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 6:44 AM