EMY Dahlia Burhanuddin.
EMY Dahlia Burhanuddin.
Siti Nadirah Hafidzin

TANYALAH pada mana-mana wanita bergelar ibu, tentu saja semuanya sanggup melakukan apa saja demi kebahagiaan dan masa depan anak tersayang.

Tidak sesekali mengharapkan wang ringgit atau kemewahan sebagai balasan, cukuplah dapat melihat darah daging sendiri berjaya bukan saja di dunia malah di akhirat kelak.

Jika ditanya mengenai pengorbanan, mungkin tidak terkira betapa banyaknya pengorbanan yang dilakukan wanita hebat bergelar ibu.

Kisah penuh inspirasi pemilik nama Emy Dahlia Burhanuddin, 46, dalam mendidik enam cahaya mata tercinta membuka mata penulis untuk lebih mendalami maksud pengorbanan sebenar seorang ibu.

Mana tidaknya, perkenalan penulis dengan wanita hebat ini bermula sejak tiga tahun lalu ketika dia masih bergelar seorang usahawan hebat juga penceramah motivasi.

Ketika itu, wajah dan namanya sering terpapar di media elektronik mahupun media cetak, namun kelibatnya di media sosial peribadi sejak kebelakangan ini menimbulkan tanda tanya kepada penulis kerana masanya kini banyak dihabiskan bersama anak dan suami tersayang.

Semua persoalan itu akhirnya terjawab apabila Emy Dahlia memberitahu dia sudah meninggalkan kerjayanya bagi membolehkan dia meluangkan lebih banyak masa bersama cahaya mata khususnya dalam mendidik anaknya bergelar hufaz.

Lebih mengagumkan, selain untuk keluarga, wanita hebat ini juga kini bergiat aktif menjalankan projek amal ‘Tudung Mudah Solat’ yang keuntungan sepenuhnya diserahkan kepada pusat tahfiz terpilih.

Memulakan bicara, Emy Dahlia berkata, dia me­ngambil keputusan memperlahankan kariernya apabila sering kekurangan masa bersama anak.

“Walaupun bukan mudah, saya tidak menyesal kerana anak menjadi sebab utama sanggup bergelar suri rumah.

“Alhamdulillah, dua daripada cahaya mata sudah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran, seorang sedang menuntut dalam jurusan Sains Islam di Universiti Istanbul, Turki manakala tiga lagi sedang menghafaz al-Quran,” katanya.

Menurutnya, besar tanggungjawab yang perlu digalas memandangkan dia dan suami mahu anak bukan saja berjaya dalam akademik malah pada ilmu agama sekali gus bergelar hufaz.

“Selain anak, keputusan ini diambil untuk diri sendiri kerana saya mahu lebih mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa selain aktif menguruskan projek amal bersama kenalan yang turut membantu.

“Walaupun ada yang mempersoalkan adakah saya tidak sayangkan kerjaya sebelum ini namun inilah keputusan paling tepat yang pernah dilakukan. Rezeki dan wang boleh dicari namun anak tiada galang gantinya,” ujarnya.

Emy Dahlia berkata, dia mengakui, pada mulanya perlu mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan rutin harian baru.

“Mana tidaknya, sebelum ini saya sangat sibuk, disebabkan tinggal di Senai, Johor dan urusan perniagaan banyak dilakukan di Kuala Lumpur menyebabkan masa saya banyak dihabiskan untuk kerja.

“Memikirkan anak yang sedang membesar, saya tekad meninggalkan kerjaya bagi menumpukan sepenuh masa dan perhatian kepada mereka. Kini saya sangat gembira kerana masa banyak dihabiskan di rumah.

“Paling bahagia apabila saya mempunyai banyak masa untuk memeluk anak, memasak makanan kegemaran, mendengar mereka bercerita, keluar berjalan-jalan, mengaji dan mendengar hafazan,” katanya.

Katanya, memandangkan anaknya sedang menuntut ilmu di Selangor dan Kuala Lumpur menjadikan dia bersama suami kini sering berulang-alik menghantar serta menjemput mereka pulang.

“Saya sangat bersyukur kerana Allah SWT mendorong hati anak untuk bergelar hafiz dan hafizah. Selain mendidik anak, besar tanggungjawab saya untuk mengubah mentaliti orang ramai mengenai anak hufaz ini.

“Ada yang menganggap hanya anak yang lemah dalam akademik dan nakal sesuai bergelar hufaz. Ada juga yang mengatakan hanya ibu bapa yang mempunyai pendapatan tinggi menghantar anak ke tahfiz selain ada pula yang mempersoalkan anak hufaz ini sukar mendapat pekerjaan kelak.

“Hakikatnya, semua tanggapan itu tidak berasas sama sekali. Sebagai ibu, saya secara perlahan-lahan akan cuba memperbetulkan pandangan itu. Disebabkan itu juga saya gemar berkongsi kisah diri dan anak di media sosial,” ujarnya.

Menurutnya, dua daripada cahaya matanya yang sudah menghafaz 30 juzuk al-Quran kini meneruskan pengajian di Akademi Da’ie Tamam Salak Tinggi dan sesudah habis pengajian, kedua-duanya akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membolehkan menyambung pengajian seterusnya.

EMY DAHLIA (empat kiri) bersama suami dan anak tersayang.
EMY DAHLIA (empat kiri) bersama suami dan anak tersayang.

TUDUNG MUDAH SOLAT

Menyentuh mengenai projek amal Tudung Mudah Solat yang diusahakannya, Emy Dahlia berkata, idea itu datang selepas dia mengambil keputusan meninggalkan kerjayanya.

“Sebelum ini, saya sememangnya usahawan dalam fesyen Muslimah dan pengalaman dalam bidang itu membuatkan saya cuba mengusahakan projek amal ini.

“Niat dan harapan saya hanya satu iaitu hasil jualan akan digunakan untuk membantu pusat tahfiz sepenuhnya dan syukur, dengan bantuan serta sokongan sahabat terdekat, projek ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Menurutnya, terkini, dia dalam proses menghasilkan 700 helai tudung mudah solat yang mana hasil jualannya akan dibahagikan kepada pusat tahfiz.

“Selain itu, keuntungan daripada projek ini juga akan diberikan kepada anak yang ingin meneruskan pelajaran namun mempunyai kekangan kewangan.

“Saya bersama sahabat dalam perancangan untuk membuka sebuah pusat tahfiz di Chendor, Pahang di atas sebidang tanah berkeluasan empat ekar,” ujarnya.

Katanya, besar harapannya untuk memastikan projek amal itu berjalan dengan lancar bagi memastikan impiannya untuk membantu lebih ramai anak tahfiz juga insan memerlukan dapat direalisasikan.

“Saya sering kali mengingatkan diri sendiri juga anak supaya tidak kedekut untuk berkongsi. Jika bukan wang ringgit, kita boleh berkongsi kasih sayang dan bantuan dengan insan memerlukan. Memberi bantuan tenaga dan fikiran juga adalah satu bentuk perkongsian kasih sayang kerana kita mahu semua orang mendapat manfaatnya.

“Kita tidak akan mengalami apa-apa kekurangan jika berbuat baik. Apa yang kita ada semuanya adalah rezeki dari Allah dan sewajarnyalah ia dikongsi dengan orang lain khususnya golongan yang memerlukan. Saya percaya, lebih banyak memberi, lebih banyak yang kita akan dapat. Contohnya kita dapat ketenangan hati yang tidak boleh dibeli atau dinilai dengan wang ringgit.

“Untuk mengecapi apa yang diimpikan tidaklah semudah disangka namun saya tetap akan berusaha merealisasikan impian itu terutama dalam melihat anak berjaya dunia akhirat sekali gus membantu sesama manusia. Moga-moga ini menjadi saham saya di sana nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 2:58 PM