NORSILAWATI MOHAMAD
NORSILAWATI MOHAMAD
Siti Nadirah Hafidzin


KEPERITAN hidup yang dirasai mengajar erti sebenar sebuah kehidupan. Ada kalanya kita berada di atas namun ada kalanya di bawah.

Semuanya bergantung kepada kekuatan diri kerana tidak semua individu mampu meneruskan kehidupan dengan lebih baik terutama selepas dilanda dugaan berat.

Mengenali wanita manis kelahiran Kota Tinggi, Johor ini banyak mengajar penulis erti sebuah kesungguhan dalam kehidupan terutama untuk mengubah nasib diri dan keluarga.

Mana tidaknya, suatu ketika dulu dia pernah dilanda keperitan hidup selepas membuat keputusan berhenti kerja. Banyak komitmen yang perlu dilunaskan setiap bulan namun dia tidak lagi mempunyai mata pencarian.

Berkongsi kisah hidup, usahawan berjaya, Norsilawati Mohamad, 31, berkata, dia terpaksa berhenti kerja selepas tinggal berjauhan dengan suami dalam tempoh agak lama.

“Ketika itu, saya bekerja di Kuala Lumpur manakala suami di Ipoh, Perak yang menyebabkan saya terpaksa berhenti kerja.

“Bukan mudah untuk saya lakukan keputusan itu tetapi demi kebahagiaan kami, saya akur. Seperti dijangka, saya mula mengalami kesempitan kewangan dua bulan selepas itu,” katanya.

WANITA manis berjiwa kental.
WANITA manis berjiwa kental.

Norsilawati berkata, lebih perit apabila dia dan suami mempunyai anak kecil berusia lima bulan yang memerlukan perbelanjaan bulanan tinggi setiap bulan.

“Namun siapa sangka kesempitan hidup ketika itu menjadi detik permulaan untuk saya bergelar usahawan. Semuanya bermula ketika saya mencari makanan tambahan untuk menambah susu badan.

“Selepas beberapa bulan mengambil produk itu, saya bukan saja menyedari susu badan bertambah malah kulit wajah semakin cerah berseri yang menjadikan ramai kenalan mula bertanya,” katanya.

Norsilawati yang kini menjalankan perniagaan produk kecantikan, Richglow kemudiannya nekad untuk menjadi salah seorang ejen sah untuk menambah pendapatan.

“Semuanya tidak disangka, daripada saya tidak mempunyai sebarang pendapatan bulanan namun secara perlahan-lahan, saya sudah mempunyai pendapatan sendiri dan pada masa sama boleh menjaga anak.

“Saya tidak mahu berpuas hati dengan mudah, setiap hari cuba untuk menambah ilmu keusahawanan untuk memastikan apa yang saya jalankan ini tidak terhenti begitu saja. Saya korbankan masa dan tenaga, sanggup berpenat dan tidak cukup tidur demi memastikan perniagaan ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Tambahnya yang menjalankan perniagaan atas talian di Facebook Norsilawati Mohamad, dia juga tidak melepaskan peluang yang ada memandangkan kini semuanya di hujung jari.

BERSAMA suami dan anak-anak yang menjadi tulang belakang kejayaan.
BERSAMA suami dan anak-anak yang menjadi tulang belakang kejayaan.

“Berniaga pada masa kini tidak sama macam dulu, tanpa memerlukan kedai dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Apa yang penting adalah rajin dan bijak bahagikan masa terutama sekiranya kita adalah suri rumah.

“Saya akui pada awalnya semuanya agak kelam-kabut terutama untuk bahagikan masa berniaga dan keluarga namun syukur, kini semuanya semakin baik. Pada sebelah pagi saya akan uruskan semua hal keluarga dan anak-anak sebelum memulakan perniagaan atas talian,” ujarnya.

Menurut Norsilawati yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak, dia sentiasa memegang prinsip kebahagiaan keluarga adalah kunci kejayaan.

“Walaupun sesibuk mana pun jadual harian, saya akan pastikan anak-anak dan suami tidak terabai kerana mereka adalah kekuatan saya.

“Syukur, kini semuanya membuahkan hasil kerana daripada bermula sebagai dropship, kini saya berjaya bergelar master stokis tanpa melakukan sebarang pinjaman kewangan daripada institusi perbankan,” ujarnya.

Norsilawati yang kini mempunyai dua cahaya mata dan tinggal di Gelang Patah, Johor berkata, selepas lebih tiga tahun bergelar usahawan atas talian, dia kini sangat bersyukur dengan apa yang dikecapinya hasil usaha tanpa jemu.

“Tiada apa yang saya harapkan melainkan perniagaan ini semakin berkembang dan saya dapat membantu suami dalam perbelanjaan bulanan keluarga kami.

“Pada masa sama, saya juga komited untuk membantu lebih ramai usahawan terutama golongan suri rumah menjana pendapatan dengan perniagaan atas talian. Tiada apa yang mustahil dalam hidup asalkan kita ada semangat dan tidak malas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 2:25 PM