TUAN Norsuzlia Idayu bersama suami dan anak.
TUAN Norsuzlia Idayu bersama suami dan anak.
Siti Nadirah Hafidzin

Ramainya anak, memang awak rancang nak anak ramai ke? Tidak penat mengurus anak? Itu antara soalan paling biasa diajukan kepada pasangan suami isteri yang memiliki anak ramai.

Hakikatnya, setiap pasangan mempunyai sebab tersendiri sama ada memilih untuk memiliki ramai anak atau sebaliknya.

Walaupun sering dianggap susah, percaya atau tidak setiap anak mempunyai rezeki masing-masing yang sudah ditetapkan.

Berkongsi pengalaman membesarkan enam cahaya mata, pasangan suami isteri Tuan Norsuzlia Idayu Tuan Hussin, 35, dan Norfairuz Ismail, 35, mempunyai pendapat sendiri dalam hal ini.

Menurut Tuan Norsuzlia Idayu, dia dan suami mendirikan rumah tangga pada 27 Mei 2006 dan sehingga kini dianugerahkan enam cahaya mata selain pernah mengalami dua kali keguguran.

“Jika dikira, saya hamil lapan kali namun dua daripadanya gugur. Semua anak saya dilahirkan selang dua tahun iaitu yang sulung kini berusia 11 tahun, diikuti yang kedua sembilan tahun, ketiga tujuh tahun, keempat lima tahun, kelima tiga tahun dan yang keenam setahun.

“Sebenarnya saya dan suami memang merancang untuk memiliki enam cahaya mata sebelum usia saya 35 tahun dan syukur perancangan kami dimakbulkan,” katanya.

Menurutnya, mereka dilahirkan dalam keluarga yang agak besar. Dia mempunyai enam adik beradik manakala suaminya tiga beradik.

“Saya dan suami mahu anak ramai. Rasanya meriah dan seronok. Walaupun menguruskan rutin harian agak mencabar, namun syukur suami banyak membantu saya.

“Bohonglah jika saya katakan tidak penat apatah lagi anak yang kecil baru berusia setahun ditambah perlu menguruskan anak lain yang bersekolah namun bagi saya semua boleh diatur dengan adanya disiplin,” ujarnya.

PASANGAN ini tidak menolak jika dikurniakan anak lagi.
PASANGAN ini tidak menolak jika dikurniakan anak lagi.

Tuan Norsuzlia Idayu berkata, memandangkan semua anaknya lahir secara normal, dia dan suami tidak menolak sekiranya diberikan rezeki anak lagi selepas ini.

“Bagi kami, anak ini rezeki dan anugerah tidak ternilai dan tidak ada sebab untuk kami menolak rezeki.

“Saya juga bersyukur kerana suami menguruskan perbelanjaan keluarga dengan baik. Jika dulu saya bekerja namun kini suami menyuruh saya menjadi suri rumah sepenuh masa bagi memberi tumpuan penuh kepada anak-anak,” katanya.

Tambahnya, di samping menguruskan anak, dia juga ada menjalankan perniagaan bakeri secara sambilan memandangkan ia antara minatnya.

Abaikan persepsi negatif

Menurut Tuan Norsuzlia Idayu, walaupun kadang-kala berdepan pelbagai persoalan mengenai jumlah anak yang ramai namun dia tidak mengambil endah mengenai perkara itu.

“Ini semua soal rezeki dan saya amat bersyukur dengan rezeki anak ini. Pada masa sama, saya juga perlu berusaha memberikan yang terbaik kepada setiap anak terutama soal pelajaran.

“Saya mahu semua mereka berjaya dan disebabkan itu saya sentiasa terapkan disiplin diri. Soal solat, disiplin diri dan pelajaran juga minat mereka sentiasa menjadi keutamaan kepada kami,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami sering berbincang mengenai soal anak terutama pada waktu malam.

TUAN Norsuzlia Idayu bersama suami dan anak.
TUAN Norsuzlia Idayu bersama suami dan anak.

“Suami sering sibuk, tetapi dia sentiasa ada dengan saya dalam membesarkan anak. Tentu saja suami adalah individu paling utama dalam membantu urusan seharian saya. Selain itu, saya juga tidak boleh malas kerana urusan harian anak-anak perlu diuruskan sebaik mungkin,” ujarnya.

Tambahnya, semua perkara perlu diatur bagi memastikan tidak berlaku masalah.

“Apabila terlalu penat saya sering mengadu kepada suami dan bersyukur kerana selain membantu, suami juga memberi keizinan kepada saya untuk keluar sebentar seperti ke spa atau pusat beli-belah berseorangan.

“Dalam waktu itu, suami yang akan menguruskan enam anak di rumah. Bagi saya, mana-mana pasangan yang mengimpikan untuk memiliki anak ramai perlulah saling memahami dan bekerjasama kerana ia kunci kebahagiaan sekeluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 2:59 PM