KEDAI buku BookXcess 24 jam pertama di Malaysia di Cyberjaya.
KEDAI buku BookXcess 24 jam pertama di Malaysia di Cyberjaya.
Intan Mas Ayu Shahimi


Tidak kira sejauh mana teknologi melebarkan pengaruhnya, buku tetap buku. Ketika ramai memilih untuk bergantung kepada capaian Internet dan sumber laman web, buku tetap dicari pada era digital kini.

Buku adalah gerbang ilmu. Sebuah buku mungkin mampu memperkenalkan seisi dunia kepada pembaca. Selain membekalkan pembelajaran dan ilmu pengetahuan, buku juga boleh menghiburkan sesiapa saja mengikut genre yang dipilih.

Walau sesibuk manapun, usah jadikan masa suntuk sebagai alasan untuk tidak menambah koleksi buku sedia ada. Apatah lagi dengan kehadiran BookXcess yang baru-baru ini melancarkan kedai buku 24 jam pertama di Malaysia di Tamarind Square, Cyberjaya.

Dengan keluasan lebih 3,437 meter persegi, BookXcess Tamarind Square menjadi gedung buku terbesar di negara ini. Ia menawarkan 500,000 buku pada harga diskaun antara 50 hingga 80 peratus berbanding harga asal.

Salah seorang pengasas BookXcess, Andrew Yap berkata, pihaknya komited untuk membantu memupuk budaya membaca dan mencari ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Bagi kami, pelancaran BookXcess ini umpama mimpi jadi kenyataan. Ia juga menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan kami untuk memastikan lebih ramai orang mempunyai akses kepada buku pada harga mampu milik,” katanya.

Jelas beliau, sehingga kini, peningkatan kos bahan bacaan kerap menjadi antara faktor yang mencetuskan kebimbangan kepada ramai pencinta buku. Justeru, dengan pelancaran kedai buku terbesar negara itu diharap menarik lebih ramai orang untuk membaca.

“Kami sediakan setengah juta buku pada harga yang cukup menarik sebagai ganjaran kepada mereka yang gemar dan mahu memulakan minat membaca. Kami harap, jumlah ini mampu memberi lebih nilai kepada pembaca di sekitar Cyberjaya, Lembah Klang, Seremban dan Putrajaya,” katanya.

Sempena pelancaran cawangan baru itu, BookXcess juga memberi peluang kepada pelanggan bertuah untuk menyertai pertandingan mengisi seberapa banyak buku percuma yang mampu ke dalam bakul selama tiga minit.

Untuk penyertaan, pelanggan perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM50 di mana-mana kedai buku BookXcess bermula dari 4 Jun sehingga 22 Julai 2018 serta menyertai cabutan bertuah. Seramai 14 pemenang bertuah akan dipilih untuk menyertai pertandingan berkenaan pada penghujung Julai nanti.

Sebagaimana di kedai lain, pencinta buku boleh mendapatkan pelbagai judul menarik di BookXcess Tamarind Square termasuk seni dan rekaan, kesusasteraan, fiksyen, bukan fiksyen, remaja, buku kanak-kanak dan banyak lagi.

Apa yang menariknya, BookXcess juga menyediakan pelbagai pilihan judul terkenal serta bahan bacaan alternatif yang sukar ditemui di kebanyakan kedai buku lain.

Dikelilingi keindahan landskap hijau, BookXcess Tamarind Square berdiri sebagai cawangan kedai buku yang mempunyai mutu dan nilai estetika paling menyerlah setakat ini. Peminat fotografi dan pengguna Instagram pasti teruja melihat begitu banyak sudut menarik yang sesuai untuk rakaman video dan mengambil gambar bersama buku-buku yang dibeli.

“Kami bekerjasama rapat dengan pereka dalaman dalam merealisasikan visi untuk memanfaatkan sepenuhnya ruang supaya ia kondusif untuk golongan pembaca, termasuk menyediakan kemudahan kafe kepada mereka yang inginkan gaya santai.

“Paling utama, kami mahu menyediakan lokasi selesa, jauh daripada kesibukan bandar, persekitaran hijau dan suasana tenang yang mampu memberi inspirasi buat semua pembaca.

“Sebagai tambahan, pengunjung kedai buku ini juga boleh menikmati perkhidmatan jalur lebar (WiFi) percuma dan menggunakan ruang umum untuk belajar dan membuat kerja, selain kemudahan ruang untuk mengadakan acara dan aktiviti,” katanya.

Seiring pelancaran, terdapat pelbagai aktiviti menarik diatur untuk pelanggan daripada semua peringkat usia seperti pertandingan bercerita, pertandingan mewarna, kelas seni dan kraf termasuklah bengkel untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Cawangan kedai buku ini terletak di L3M-04, Tamarind Square, Persiaran Multimedia, Cyber 10, Cyberjaya. Pelanggan boleh lawati laman Facebook BookXcess.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 1:23 PM