ANTARA pengunjung yang hadir pada pesta BBW di MIECC.
ANTARA pengunjung yang hadir pada pesta BBW di MIECC.
HM Digital

Kuala Lumpur: BookXcess, pengendali rangkaian kedai buku terkemuka di Lembah Klang kembali menganjurkan acara jualan buku tahunan Big Bad Wolf (BBW) bermula 8 hingga 18 Disember ini bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan dengan tawaran 4.5 juta buku berbahasa Melayu, English dan Cina.

Pengarah Urusan BookXcess Andrew Yap berkata pihaknya sebagai peruncit buku utama di negara ini sentiasa menetapkan matlamat untuk menawarkan buku terbaik pada harga berpatutan bagi mempromosi budaya membaca dalam kalangan warga Malaysia.

“Ia amat memuaskan untuk menyaksikan kejayaan misi kami setiap tahun apabila menyaksikan lebih ramai individu berkunjung ke acara BBW ini,” katanya di sini, semalam.

Seperti mana acara BBW terdahulu, pelanggan berpeluang menikmati diskaun bagi semua siri buku berbahasa Inggeris bermula 75 hingga 95 peratus di mana pengunjung boleh membayar secara tunai dan kredit atau melalui vCash menggunakan telefon pintar masing-masing.

Beliau berkata, acara BBW kali ini tidak sekadar fokus kepada jualan buku saja malah ia adalah pesta yang menawarkan pelbagai aktiviti dan pengalaman di tapak acara bagi memastikan pengunjung sentiasa membabitkan diri, terhibur dan bertenaga sepanjang acara.

Menurutnya, BBW menjalinkan kerjasama dengan watak kartun popular Ejen Ali untuk mengadakan aktiviti permainan dan cabaran, persembahan bacaan secara langsung oleh pelakon suara Ejen Ali, sesi meet and greet maskot Ejen Ali, peraduan kuiz dan mewarna serta promosi jualan cenderamata Ejen Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 12:27 AM