Azman Adnan
Azman Adnan
Samadi Ahmad


Cyberjaya: Pendigitalan industri buku dijangka membawa impak lebih jauh dan besar dengan menghasilkan bank data industri buku lebih signifikan dan tepat.

Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Azman Adnan berkata, ia

sekaligus berupaya membantu Kerajaan dan penggiat industri untuk membuat keputusan dalam menggubal dasar Kerajaan.

Menurutnya, usaha pendigitalan industri buku ini tidak akan sesekali menokhtahkan ekosistem penerbitan buku secara fizikal malah berperanan sebagai pelengkap ke arah memajukan dan memartabatkan industri buku negara.

"Pendigitalan industri buku juga selaras dengan usaha Dasar Pendidikan Digital untuk mewujudkan pembaca baharu dalam kalangan masyarakat supaya budaya membaca terus membugar.

"KPM mengucapkan tahniah kepada barisan pengelola Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL) yang berusaha merealisasikan usaha pendigitalan landskap pendidikan dan sumber ilmu negara dalam industri perbukuan," katanya ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran PBKL 2024 di Tamrind Square di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Pengelola PBKL 2024 yang juga Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Khair Ngadiron.

Pada majlis sama beliau turut melancarkan aplikasi PBAKL2024 -eventapps yang

julung kali digunapakai.

PBAKL 2024 edisi ke-41 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bermula 24 Mei hingga 2 Jun ini mulai jam 10 pagi hingga 10 malam.

PBAKL kali ini juga diadakan secara hibrid iaitu bersemuka dan dalam talian dalam usaha memartabatkan buku sebagai sumber ilmu pengetahuan.

PBAKL 2024 ini menghimpunkan 241 pempamer dari dalam dan luar negara dengan membabitkan 972 reruai dan menyasarkan 1.5 juta pengunjung.

Azman berkata, bagi merealisasikan hasrat untuk mereformasikan industri buku negara, semua pihak termasuk penulis, penerbit dan para ilmuan perlu bersinergi dalam menghasilkan karya yang berkualiti dan bermutu tinggi.

Katanya, apa yang lebih penting adalah karya dihasilkan berupaya menonjolkan kesantunan dan ketinggian buah fikir masyarakat kepada dunia.

"Penghasilan karya yang berkualiti adalah asas yang penting dalam menarik minat masyarakat untuk membudayakan amalan membaca sekali gus berupaya meningkatkan kuasa beli pengguna terhadap industri buku yang bakal menyumbang kepada kemampanan ekonomi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 5:59 PM