BURAK Galip Akkurt dan pasukan penyelamat mendengar bunyi yang datang dari bawah runtuhan akibat gempa. FOTO Agensi.
BURAK Galip Akkurt dan pasukan penyelamat mendengar bunyi yang datang dari bawah runtuhan akibat gempa. FOTO Agensi.
Agensi

Ankara: "Bolehkah sesiapa mendengar saya?" Itu jeritan biasa dilaungkan pasukan keselamatan yang melakukan usaha pencarian mangsa runtuhan akibat gempa bumi di Turkiye baru-baru ini.

Dalam kegelapan malam, pasukan keselamatan menunggu dengan senyap dan mengharapkan suara lemah memanggil mereka semula atau mendengar bunyi pergerakan serta ketukan di bawah runtuhan.

Anggota pasukan keselamatan, Burak Galip Akkurt ditanya wartawan BBC mengenai perasaannya apabila mendengar suara dari bawah runtuhan, dia berkata, perasaan itu dijauhkan bagi meneruskan usaha menyelamat.

Jelasnya, perasaan itu datang sebaik misi selesai dan dia akan mendapatkan bantuan psikologi untuk menghadapi semua yang dilihat.

"Ia bukan mudah untuk pulih daripada perkara yang dilihat. Ia trauma dan sangat dramatik," katanya.

Katanya, tiada mangsa yang ditemui selamat bawah runtuhan sebuah blok pangsapuri semasa menjalankan misi pencarian itu.

Namun keesokannya, Burak menjumpai seorang mangsa, Dilek Eger yang diselamatkan dari sebuah bangunan di bandar Iskenderun, selepas terperangkap selama lapan jam.

Dilek memberitahu merasai gegaran sangat kuat sebelum bangun dan berlari ke bilik ibu bapanya.

Malangnya kedua ibu bapa dan abangnya disahkan meninggal dunia di bawah runtuhan manakala Dilek tertimbus dan dikelilingi kaca pecah dengan hanya bahagian kepalanya kelihatan.

Dilek tidak menangis untuk dua hari pertama tetapi tidak dapat menahan sebak ketika berbaring di sofa ruang tamu kediaman neneknya.

"Dia bercakap dengan saya lembut melalui pengalaman pahitnya, dia kelihatan mula melalui semua emosi. Semasa dia mencium dan membelai gambar ibunya, dia mula menangis teresak-esak.

"Ibu menghembuskan nafas terakhir dalam dakapan saya. Dia menyelamatkan saya kerana dia berada di atas saya, tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa untuknya.

"Abang terperangkap di bilik lain dan ayah menderita dalam kesakitan. Menyaksikan kematian semua orang disayangi membuatkan saya berasa sangat kosong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 1:06 PM