Penyelamat menggerudi lubang untuk mengesan pelombong yang terperangkap selama sembilan hari. - FOTO Agensi
Penyelamat menggerudi lubang untuk mengesan pelombong yang terperangkap selama sembilan hari. - FOTO Agensi
BERNAMA

Bonghwa, Korea Selatan: Pekerja penyelamat pada Khamis mula mencari dua pelombong yang terperangkap di bawah tanah selama sembilan hari dengan menebuk lubang dan memasukkan endoskop.

Mereka terperangap dalam ruang menegak kira-kira 190 meter di bawah tanah di lombong zink di daerah Bonghwa, 244 kilometer tenggara Seoul, sejak runtuhan pada 26 Oktober lalu, lapor agensi berita Yonhap.

Pekerja penyelamat berjaya menggerudi lubang pada pagi Khamis untuk menembusi tempat mereka terperangkap kira-kira 170 meter di bawah tanah, kata jabatan bomba tempatan.

Mereka memulakan operasi mencari menggunakan endoskop yang dimasukkan ke dalam lubang berdiameter 76 mm. Mereka juga menggunakan peranti pengesan bunyi.

Kedua-dua pelombong dengan nama keluarga Park itu masing-masing berumur 62 dan 56 tahun, menurut laporan.

"Kami datang untuk menyelamatkan anda. Jika anda mendengar suara saya atau melihat cahaya, sila datang perlahan-lahan ke cahaya dan berteriak," kata seorang pekerja penyelamat melalui lubang.

Selepas gagal mengesan sebarang tindak balas, mereka mengalihkan mesin gerudi itu ke lokasi 168 meter di bawah tanah dan meneruskan pencarian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 4:06 PM