JULIANNA ketika dirawat di hospital. FOTO Agensi.
JULIANNA ketika dirawat di hospital. FOTO Agensi.
Agensi

London: Seorang ibu kepada dua anak terpaksa dipotong kedua-dua belah kakinya selepas kesihatannya merosot secara mendadak akibat simptom seperti selesema.

Julianna Bransden, 44, baru saja menyambut Krismas pertama sejak wabak Covid-19 bersama ibu, ayah dan adik-beradiknya sebelum episod malang iu menimpanya, lapor Daily Star.

Guru sekolah rendah itu pada mulanya berasa kurang sihat, namun tetap meneruskan sambutan perayaan itu bersama keluarganya.

Selepas itu, mereka menerima berita ibu saudaranya di Ireland Utara meninggal dunia dan tidak lama kemudian, kesihatannya mula merosot sehingga mengubah hidupnya.

Malah, tangan Julianna bertukar menjadi hitam akibat simptom itu.

Kakaknya, Jac, berkata, doktor mendapati adiknya itu menghidap radang paru-paru yang agresif dan influenza ketika dia dimasukkan ke hospital.

Selepas berminggu-minggu bertarung nyawa, dia mengalami masalah teruk pada tangan dan kaki dan terpaksa menjalani pembedahan untuk memotong kedua-dua kakinya di bawah lutut.

"Dia juga akan kehilangan kebanyakan jarinya kerana terjejas teruk oleh sepsis.

"Kami kini sangat yakin bahawa dia akan pulang. Dia sangat tabah dan sangat berdaya tahan. Dia bukan hanya tersenyum untuk gambar, dia benar-benar tersenyum," katanya.

Akibat masalah kesihatannya itu Julianna dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital di Haverfordwest, Pembrokeshire, Wales selama 66 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 8:08 AM