AYŞE Ozkiraz. FOTO Agensi
AYŞE Ozkiraz. FOTO Agensi
Agensi

Ankara: Kelicikan seorang wanita di Turkiye yang menyamar sebagai doktor dengan memalsukan sijil kelayakan perubatannya terbongkar apabila dia ditahan polis.

Ayşe Ozkiraz, 20, berjaya memperdayakan orang ramai dengan bekerja sebagai pakar pediatrik di sebuah hospital negeri di Çerkezkoy, selama setahun.

Ozkiraz mendakwa, dia lulusan dari Sekolah Perubatan Çapa Universiti Istanbul, namun dia tersilap cakap ketika disoal prosedur standard perubatan hingga rakan setugasnya mula mencurigainya.

Pihak pengurusan hospital menghubungi polis, yang akhirnya menggeledah rumah Ozkiraz sebelum menemui beberapa kad universiti, kad pengenalan doktor dan diploma, yang semuanya adalah palsu.

Ozkiraz, tidak mempunyai pendidikan melebihi sekolah menengah serta berjaya meyakinkan keluarganya dia lulus dari Sekolah Perubatan Çapa.

Ozkiraz mendedahkan, dia bertindak sedemikian kerana mahu menunaikan hasrat keluarganya yang mahu dia belajar ke sekolah perubatan, namun dia sebenarnya gagal dalam peperiksaan universiti.

Ibunya, Semra Arslan memberitahu akhbar Turkiye, Cumhuriyet, mereka sekeluarga tidak dapat menerima kenyataan itu memandangkan anaknya itu bergambar bersama pasukan doktor di dalam dewan bedah dan bersama jururawat ketika bertugas.

"Pasti ada orang lain terbabit dalam penipuan itu dan mereka juga harus ditangkap.

"Anak saya tidak akan mencuba buat perkara macam ini," katanya.

Ozkiraz berdepan dakwaan dan tindakan kerana melanggar Undang-Undang Amalan Gaya Perubatan dan Sains Perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 12:42 PM