FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Dublin: Seorang wanita dilaporkan meninggal dunia selepas menjalani bariatrik, iaitu pembedahan penurunan berat badan di Turkiye.

Namun, punca kematian wanita berusia lingkungan 30-an, dari barat Dublin itu belum dapat dipastikan.

Keluarganya kini berada di Turkiye untuk proses penghantaran mayat pulang ke Ireland.

Jabatan Luar Negeri (DFA) turut menyediakan bantuan konsular, lapor Independent.

Jabatan itu mengesahkan ramai warga Ireland meninggal dunia tahun ini selepas ke Turkiye untuk prosedur perubatan tetapi tidak memberikan jumlah yang tepat.

DFA berkata: "Jabatan sedar sesetengah rakyat mengalami komplikasi ketika menjalani rawatan di Turkiye dan sebahagian besar meninggal dunia berikutan prosedur perubatan," katanya.

Senarai menunggu yang lama dan kekurangan pakar untuk beberapa prosedur di Ireland menyebabkan orang ramai memilih ke luar negara untuk menjalani pembedahan perubatan.

Bagaimanapun, DFA memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang berfikir untuk melancong bagi prosedur perubatan supaya menyedari semua risiko dan membincangkan rancangan mereka dengan teliti bersama doktor, doktor gigi atau pakar terlebih dahulu.

"Individu berkenaan juga harus membiasakan diri dengan sebarang rawatan atau proses susulan yang mungkin diperlukan, dan sedar mereka mungkin menghadapi masalah komunikasi dalam persekitaran bukan berbahasa Inggeris," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 3:57 PM