ANGGOTA perubatan ATM memeriksa barangan mereka pada Misi Pelepasan Kumpulan Kedua Pasukan Perubatan ATM ke Turkiye di KLIA malam ini. FOTO Bernama.
ANGGOTA perubatan ATM memeriksa barangan mereka pada Misi Pelepasan Kumpulan Kedua Pasukan Perubatan ATM ke Turkiye di KLIA malam ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Sepang: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar 106 anggota perubatan termasuk 14 pakar pelbagai bidang dan 12 doktor untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan mangsa gempa bumi di Turkiye.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Lt Jen Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh, berkata pasukan perubatan berkenaan akan bertolak ke Turkiye secara berperingkat dengan pagi tadi seramai 36 orang, malam ini 34 orang selebihnya dijangka esok.

"Antaranya pakar pembedahan am, pakar orthopedik selain mengambil kira kemudahan pakar perbidanan dan sakit puan serta kanak-kanak yang amat diperlukan di kawasan kejadian saat ini," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Turkiye, malam ini.

PASUKAN Perubatan Angkatan Tentera Malaysia bergambar pada Misi Pelepasan Kumpulan kedua Pasukan Perubatan ATM ke Turkiye di KLIA. FOTO BERNAMA
PASUKAN Perubatan Angkatan Tentera Malaysia bergambar pada Misi Pelepasan Kumpulan kedua Pasukan Perubatan ATM ke Turkiye di KLIA. FOTO BERNAMA

Katanya, anggota perubatan yang dihantar itu adalah berdasarkan kepada kebarangkalian kecederaan yang dialami oleh mangsa gempa bumi di negara berkenaan.

Sementara itu, Dr Zulkeffeli berkata, ATM akan membina sebuah Hospital Medan Malaysia (HMM) Tahap Tiga di Turkiye untuk tempoh enam minggu bagi memberi bantuan rawatan perubatan kepada mangsa gempa bumi di negara itu.

Menurutnya, HMM amat diperlukan memandangkan fasiliti kesihatan di kawasan bencana kebanyakannya hampir musnah sehingga membataskan kemampuan fasiliti kesihatan di sana memberi perawatan secara berkesan.

"Dengan adanya HMM di kawasan kejadian, ia diharapkan dapat membantu meringankan beban terutamanya dari segi keperluan kesihatan di kawasan yang terlibat," katanya.

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda pada Isnin lepas telah meragut ribuan nyawa.

Turkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 12:45 AM