Amir Abd Hamid

Sepang: "Saya bertugas demi Malaysia, keluarga juga sudah merestui. Harapan saya (dapat) pergi dan balik dengan selamat," kata Cef Tentera Koperal Azizul Muhammad, 31.

Beliau yang baru menimang anak kedua 15 hari lalu antara 41 anggota membabitkan 16 pegawai dan 25 anggota lain-lain pangkat daripada kumpulan terakhir pasukan Hospital Medan Malaysia (HMM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyertai Operasi Starlight II (Op Starlight II) ke Turkiye untuk membantu mangsa gempa bumi di negara itu.

Katanya, beliau ditugaskan untuk bersama di HMM ATM di Turkiye itu untuk penyediaan makanan dan katering.

Sementara itu, walaupun masih berpantang, isterinya Nur Izzatie Rahim, 35, yang bekerja sebagai juru X-ray di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) itu sanggup hadir ke Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, bersama dua anak mereka iaitu Nur Ailis, 4, dan Muhammad Luth Uwais berusia 15 hari.

"Suami baru habis cuti paterniti. Dia diberitahu kena 'bertugas', saya ingatkan 'duty' biasa dekat kem (tempat Azizul bertugas di Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) Kem Perdana Sungai Besi).

"Rupa-rupanya kena terbang sampai ke sana (Turkiye) dan ini adalah tugasan pertama suami di luar negara. Saya berdoa dan berharap suami serta pasukannya yang bertugas di sana balik dengan selamat," katanya ketika ditemui di Terminal 1 KLIA, di sini, malam ini.

AZIZUL mencium anak kedua yang berusia 15 hari sebelum berlepas ke Turkiye. Turut kelihatan isterinya, Nur Izzatie. FOTO Aswadi Alias.
AZIZUL mencium anak kedua yang berusia 15 hari sebelum berlepas ke Turkiye. Turut kelihatan isterinya, Nur Izzatie. FOTO Aswadi Alias.

Pelepasan kumpulan berkenaan yang disempurnakan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom.

Sementara itu, Pakar Bedah Am Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan, Mejar Dr Sivananthan Asokumar berkata, beliau rasa bangga diberikan peluang bertugas untuk membawa nama Malaysia di persada antarabangsa.

"Tugas saya ialah melakukan pemeriksaan terhadap mangsa selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menyelamatkan mangsa di tempat kejadian.

"Jika mangsa memerlukan pembedahan kita akan melakukannya untuk cuba menyelamatkan nyawa mereka. Itu sasaran," katanya.

Beliau yang pernah menyertai misi pengaman selama setahun di Lubnan 10 tahun lalu berkata, ini adalah kali pertama perlu melaksanakan tugas di kawasan gempa bumi teruk.

Dr Sivananthan berkata, isterinya Amirtha Rengasamy, 36, serta dua anak mereka Sudharmathy, 9, Sivamathy, 5, semakin memahami tugasnya sebagai doktor merangkap tentera.

Pasukan HMM ATM di Turkiye diketuai Pemerintah Op Starlight II, Brigedier Jeneral Datul Dr Amran Amir Hamzah, keseluruhannya bersama 106 pegawai dan anggota akan melaksanakan misi yang dijangkakan selama enam minggu namun akan dilanjutkan sekiranya perlu.

ANGGOTA Tim Op Starlight ll mengangkat beg sebelum memasuki pintu pelepasan antarabangsa. FOTO Bernama.
ANGGOTA Tim Op Starlight ll mengangkat beg sebelum memasuki pintu pelepasan antarabangsa. FOTO Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 1:13 AM