GAMBAR Ratu Elizabeth II di tengah-tengah bunga yang diletakkan di luar Istana Buckingham. FOTO AFP
GAMBAR Ratu Elizabeth II di tengah-tengah bunga yang diletakkan di luar Istana Buckingham. FOTO AFP
Agensi

London: Pengebumian Negara Ratu Elizabeth II akan diadakan pada 19 September ini di Westminster Abbey, menurut Istana Buckingham pada Sabtu.

Sebelum Pengebumian Negara, mendiang Raja Britain itu akan ditempatkan di Dewan Westminster selama empat hari untuk membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

"Orang ramai akan berpeluang melawat Dewan Westminster untuk memberi penghormatan kepada Ratu.

"Pada pagi Isnin, 19 September, upacara itu akan berakhir dengan keranda akan dibawa dalam perarakan dari Istana Westminster ke Biara Westminster sebelum upacara Pengebumian Negara dijalankan," katanya.

Keranda akan diusung dalam perarakan dari Westminster Abbey ke Wellington Arch di London untuk perjalanan seterusnya ke Windsor.

Di Windsor, keranda akan diusung pula ke Gereja Kecil St George di Istana Windsor, tempat terakhir Ratu bersama mendiang suaminya Putera Philip.

Dalam beberapa hari ini, keranda Ratu ditempatkan di Dewan Istana Balmoral di Scotland.

Seterusnya keranda akan dibawa ke Edinburgh pada Ahad melalui jalan darat ke Istana Holyroodhouse, sebelum ditempatkan di Bilik Takhta sehingga petang Isnin.

Raja Charles III dan ahli keluarga diraja akan turut serta dalam perarakan dan menghadiri upacara penerimaan keranda.

Kerajaan Scotland sudah menetapkan beberapa lokasi perhentian bagi membolehkan rakyat memberikan penghormatan di sepanjang laluan perarakan.

"Keranda baginda kemudiannya akan diletakkan di Katedral St Giles untuk membolehkan rakyat Scotland memberi penghormatan," kata Istana Buckingham.

Pada Selasa, keranda akan diterbangkan dari Scotland dengan pesawat Tentera Udara Diraja (RAF) dari Lapangan Terbang Edinburgh, tiba di Lapangan Terbang RAF Northolt di England lewat petang itu.

Keranda Ratu kemudiannya akan dihantar ke Istana Buckingham melalui jalan darat dan ditempatkan di Bilik Bow.

"Pada tengah hari 14 September ini, keranda akan dibawa dalam perarakan di atas Kereta Berkuda Pasukan Artileri Diraja dari Istana Buckingham ke Istana Westminster dan ditempatkan di Dewan Westminster sehingga pagi Pengebumian Negara," kata istana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 10:15 AM