AFP

London: Keranda jasad mendiang Ratu Elizabeth II tiba di Istana Buckingham di sini, pada Selasa.

Ia selepas keranda itu diterbangkan dengan pesawat tentera C-17 Globemaster dari sebuah lapangan terbang di Edinburgh, Scotland ke sini.

Elizabeth II pada Khamis lalu mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland.

Jasadnya kemudian dibawa ke kediaman rasmi diraja di Scotland, Istana Holyroodhouse di Edinburgh, pada Ahad.

Keranda mendiang kemudian dibawa ke Katedral St Giles di bandar itu, pada keesokannya (Isnin).

Kerajaan Scotland berkata, kira-kira 30,000 memberikan penghormatan terakhir apabila keranda mendiang berada di geraja berkenaan sebelum ia dibawa ke lapangan terbang untuk diterbangkan ke London.

Anak perempuan tunggal Elizabeth, Puteri Anne mengiringi keranda mendiang sepanjang penerbangan dari Edinburgh ke London.

Di lapangan terbang Edinburgh, Rejimen Diraja Scotland yang memakai kilt iaitu pakaian tradisional Scotland membentuk barisan kawalan kehormat.

Lagu kebangsaan kemudian dimainkan ketika pesawat bergerak dari landasan.

KENDERAAN membawa keranda mendiang Ratu Elizabeth II dalam perjalanan ke Istana Buckingham, London. FOTO AP
KENDERAAN membawa keranda mendiang Ratu Elizabeth II dalam perjalanan ke Istana Buckingham, London. FOTO AP

Pada Rabu, keranda akan mendiang dibawa dengan dari Istana Buckingham ke Westminster Hall.

Ia akan diletakkan di situ selama empat hari.

Kerajaan United Kingdom (UK) menjangka orang ramai akan berbaris sepanjang 7.2 kilometer di sepanjang tebing Sungai Thames bagi mendapat peluang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth.

Terdahulu, pada Selasa, anak lelaki paling tua Elizabeth yang menjadi penggantinya, Raja Charles III membuat kunjungan pertamanya sebagai raja di Ireland Utara.

Ia adalah sebahagian daripada upacara rasmi dalam jelajah ke seluruh UK selepas kemangkatan bondanya.

UK menetapkan 10 hari sebagai tempoh berkabung atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 8:33 AM