KERANDA membawa jasad Ratu Elizabeth II tiba di Istana Holyroodhouse. FOTO Reuters
KERANDA membawa jasad Ratu Elizabeth II tiba di Istana Holyroodhouse. FOTO Reuters
AFP

Edinburgh: Puluhan ribu orang berbaris di sepanjang jalan ketika kenderaan membawa jasad mendiang Ratu Elizabeth II meninggalkan Istana Balmoral, Scotland.

Kenderaan itu dilitupi dengan bendera Royal Standard of Scotland, melalui Aberdeen dan Dundee untuk ke ibu kota Edinburgh.

Ada yang bertepuk tangan, menangis dan berdiam diri ketika kenderaan itu tiba di Istana Holyroodhouse di sini.

Ratu Elizabeth II meninggal dunia pada Khamis lalu selepas pemerintahan tujuh dekad, dan anaknya, Charles kini menggantikan baginda sebagai raja United Kingdom.

Jasad mendiang akan berada Istana Holyroodhouse, semalamam - yang menjadi kediaman rasmi diraja di Scotland.

Pada Isnin, Charles akan mengetuai perarakan ke Katedral St Giles, yang terletak berdekatan.

Mendiang ratu kemudian akan diterbangkan ke London pada Selasa untuk upacara penghormatan terakhir selama empat hari sebelum upacara pengebumian pada 19 September.

Upacara berkenaan dijangka dihadiri pemimpin dunia dan ditonton oleh jutaan orang di seluruh dunia.

Menteri Pertama Scotland Nicola Sturgeon berkata, ia adalah momen yang sedih untuk melihat jasad mendiang 'meninggalkan' Istana Balmoral untuk kali terakhir.

Dalam pada itu, ribuan orang sudah berkumpul di luar Istana Buckingham dan beberapa kediaman rasmi diraja lain sejak beberapa hari lalu untuk meletakkan jambangan bunga dan ucapan takziah.

Namun, lebih ramai yang dijangka akan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir apabila jasad Elizabeth berada di Westminster Hall, sebelum upacara pengebumian di Westminster Abbey, di London.

Upacara pengebumian ratu itu yang menaiki takhta pada usia 25 tahun pada 1952 - dijangka dihadiri oleh pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan mungkin Maharaja Jepun Naruhito.

Charles juga dinamakan secara rasmi sebagai raja di Australia dan New Zealand - bekas jajahan Britain yang sudah beberapa dekad merdeka tetapi masih mengekalkan monarki.

Pertabalan Charles, akan berlangsung di Westminster Abbey, pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 8:23 AM