BEN Amir mampu hayati watak pelajar bernama Soleiman dalam drama Bawah Payung Awan.
BEN Amir mampu hayati watak pelajar bernama Soleiman dalam drama Bawah Payung Awan.
Zaara Talita

PELAKON Ben Amir mengakui memberi komitmen penuh dalam setiap naskhah yang ditawarkan kepadanya.

Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin menggalas tanggungjawab membawakan watak pelajar sekolah bernama Soleiman dalam drama Bawah Payung Awan biarpun sudah mencapai usia 34 tahun.

Drama adaptasi novel ini ditayangkan di Viu Original dan menampilkan perjalanan hidup Soleiman dari zaman remaja hingga dewasa.

"Jika diikutkan saya sudah berusia 34 tahun, namun saya teruja untuk melakonkan watak pelajar sekolah kerana berbeza dengan watak yang sering saya bawakan.

"Cara lakonan dan gaya dialog berlainan. Ini kerana bagi membawakan watak Soleiman, cara berfikir yang tidak matang, ia menyeronokkan bagi saya untuk jadi budak-budak balik.

"Tapi hanya 15 episod saya bawa karakter tersebut. Dan 15 episod seterusnya dah dewasa macam sekarang," kata Ben.

Menurut Ben, drama berkenaan tidak berniat memburukkan kehidupan orang yang tinggal di kawasan setinggan sebaliknya mahu menunjukkan realiti kehidupan mereka dan bagaimana mereka boleh keluar dari situasi itu.

"Kita cuma nak menunjukkan cara kehidupan dan masalah yang mereka ada. Kita juga tunjuk macam mana nak keluar dari keadaan tersebut, mentaliti apa yang kita perlu ada untuk keluar.

"Saya mendalami kehidupan mereka sebab drama ini adalah drama pertama saya bawa satu karakter yang betul-betul susah.

"Sebab sebelum ini saya banyak berlakon cerita-cerita 'handsome' dan cerita kaya sahaja. Jadi bila dapat karakter Soleiman sebegini, memang waktu dalam set penggambaran saya akan duduk dalam rumah itu untuk mendalami dan selesakan diri dalam rumah itu," katanya.

Sementara itu, demi membawakan watak Soleiman, Ben mengaku terpaksa mengorbankan rambutnya.

"Untuk 15 episod pertama drama ini, potongan rambut saya berbentuk 'mullet' dan episod selepas itu saya kena berambut pendek untuk nampak kelainan.

"Terpaksalah potong rambut walaupun saya tak berapa suka. Saya memang suka rambut panjang. Bagi saya rambut itu adalah perkara utama dalam memberi impak kepada penampilan kita.

"Pada mulanya saya memang tidak suka (potong rambut) kerana lebih gemar berambut panjang tetapi disebabkan ia sebahagian daripada komitmen kerja, saya rela melakukannya," katanya.

Selain Ben, drama terbitan Global Station Sdn Bhd itu turut dibintangi Nabila Razali, Nelissa Nizam, Amyza Aznan, Muaz Zabir, Watie Sadali, Riz Amin, Lan Siro dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 6:20 AM