AMALAN solat Subuh berjemaah  perlu dipupuk sejak awal usia bagi melahirkan generasi muda bertakwa dan menjadi insan mulia.
AMALAN solat Subuh berjemaah perlu dipupuk sejak awal usia bagi melahirkan generasi muda bertakwa dan menjadi insan mulia.
Oleh Dr Zuraimy Ali

Kempen Subuh macam Jumaat dilihat kian lesu tanpa sokongan semua pihak bagi mengimarahkan masjid-masjid yang ada di negara Malaysia tercinta. Malaysia sudah mencipta fenomena luar biasa dengan kempen subuh macam Jumaat yang telah dicetuskan oleh beberapa artis dan pempengaruh.

Namun semangat untuk bangkit Subuh dan turun solat berjemaah perlu diusahakan secara tersusun supaya seluruh rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam mampu melaksanakan kempen tersebut dengan lebih berkesan terutamanya bagi mendidik anak-anak kecil agar sentiasa melazimi Subuh secara berjemaah.

Hal ini perlu diberikan perhatian serius bagi mendidik generasi muda agar lebih bertakwa dan menjadi insan mulia.

Suara azan yang berkemundang menjadikan kita sentiasa sedar bahawa dunia yang didiami bukanlah tempat untuk manusia terus hanyut dan lalai.

Seruan azan yang mengajak kepada 'solat' dan 'kejayaan' diulang berkali-kali sehari lima waktu bagi mengingatkan manusia bahawa kejayaan hakiki ialah apabila seorang hamba Allah berjaya memasuki syurga-Nya.

Bangkit untuk solat Subuh merupakan cabaran berat dan jika berjaya menghimpunkan 'jumlah' yang ramai untuk solat Subuh berjemaah merupakan satu pencapaian luar biasa serta melambangkan umat Islam tidak mundur sebagaimana yang digambarkan oleh pihak luar.

Kelebihan untuk bangkit Subuh dapat dilihat beberapa kelebihan yang telah dijelaskan melalui hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud "Tidak pernah dilihat Nabi SAW begitu mengambil berat berkaitan solat-solat sunat sebagaimana Baginda SAW mengambil berat tentang dua rakaat fajar." (Riwayat al-Bukhari)

Solat sunat sebelum Subuh lebih bermakna daripada dunia dan seisinya sesuai dengan maksud dari hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya." (Riwayat Muslim).

Justeru, sudah sampai masanya semua pihak perlu memberikan iltizam dan tekad merebut kelebihan yang diberikan bagi mereka yang bangkit Subuh dan meraih fadhilat yang ada ketimbang mereka yang mensia-siakan peluang tersebut.

Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) perlu menyusun strategi bagi menggerakkan kempen bangkit Subuh dan turun solat berjemaah dengan lebih berkesan.

Hal ini tidak boleh dipandang mudah memandangkan generasi kini perlu mendapatkan pendidikan yang terbaik bagi melazimi diri dari peringkat kanak-kanak.

Asuhan dan didikan penting bagi memastikan setiap langkah ke masjid menjadi satu bentuk disiplin awal membiasakan anak-anak muda hadir ke masjid. Setiap langkah untuk ke masjid diberikan kelebihan yang besar sesuai dengan hadis nabi Muhammad SAW yang bermaksud "Sesiapa yang membersihkan dirinya (berwuduk) di rumahnya kemudian dia berjalan kaki menuju ke satu rumah dari rumah-rumah Allah untuk dia menunaikan satu kefardhuan dari kefardhuan-kefardhuan kepada Allah, maka setiap langkahnya itu salah satunya memadamkan dosa dan selangkah lagi mengangkat darjatnya" (Riwayat Muslim).

Jika ditelusuri kepada perkembangan anak-anak muda kini dilihat mempunyai minat yang baik seperti mengayuh basikal, berjalan kaki, berlari untuk beratus kilometer dan ini sudah cukup membuktikan anak-anak muda mempunyai kekuatan luar biasa kerana masih muda dan memiliki tenaga yang cukup kuat.

Bagaimanapun amat sedih jika kurniaan anugerah Allah SWT untuk anak-anak muda tidak dilatih dari awal untuk bangkit ke masjid dan sudah tentu ia tidak memenuhi maksud pencapaian sebenar.

Matlamat untuk melahirkan generasi muda yang bertenaga harus meletakkan kejayaan dan kebaikan bagi keduanya iaitu duniawi dan ukhrawi. 

Justeru, Kerajaan Malaysia Madani sentiasa meletakkan keutamaan terhadap tanggungjawab memelihara |dan memulihara ekosistem pendidikan awal kanak-kanak dengan memastikan seawal usia cilik diberikan ilmu pengetahuan mencukupi seperti mana hasrat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyasarkan semua Tabika Kemas dijadikan Tabika Pra Tahfiz menjelang 2030.

Usaha murni ini merupakan sasaran awal bagi memenuhi piawaian pendidikan Islam supaya dapat melahirkan lebih ramai hufaz di samping menanam kecintaan terhadap Islam.

Dengan tekad ini diharapkan generasi muda masa hadapan lebih terdidik dengan ilmu dan nilai yang bermanfaat demi mencapai kejayaan hakiki.

Bangkit bersama untuk turun Subuh berjemaah bagi menjayakan seruan Subuh macam Jumaat kembali menggegarkan Malaysia.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara Cawangan Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 7:02 AM