KERANDA Elizabeth ketika dibawa untuk istiadat pemakaman negara di Westminster Abbey, London. FOTO AFP
KERANDA Elizabeth ketika dibawa untuk istiadat pemakaman negara di Westminster Abbey, London. FOTO AFP
Agensi

London: Ratu Elizabeth II akan disemadikan di King George VI Memorial Chapel di dalam gereja kecil, St George's Chapel di Istana Windsor, barat London.

Selain itu, Raja George VI, ibu permaisuri Ratu Elizabeth, dan Countess of Snowdon, Puteri Margaret turut disemadikan di ruang sama.

Putera Philip, kini dikebumikan di kamar khas dikenali sebagai Royal Vault di bawah St George's Chapel, selepas kematiannya pada usia 99 tahun pada April 2021.

Keranda Philip akan dipindahkan dari Royal Vault untuk disemadikan bersama-sama dengan Elizabeth.

Terdahulu, istiadat pemakaman negara diadakan di Westminster Abbey, London, yang dihadiri kira-kira 2,000 orang, bermula jam 11 pagi.

Ia termasuk kira-kira 500 pemimpin dan delegasi luar negara, lapor BBC dan Sky News.

Ini diikuti dengan Perarakan Pengebumian Negara yang bermula dengan keranda mendiang dibawa melalui jalan sehingga tiba di Wellington Arch.

Di situ, keranda akan dipindahkan ke kenderaan diraja dan ia bertolak ke Istana Windsor, di barat London.

Ini disusuli dengan:

3.06 petang (10.06 malam waktu Malaysia)

Kenderaan diraja tiba di Istana Windsor dan menuju ke istana melalui laluan Long Walk.

3.40 petang (10.40 malam waktu Malaysia)

Raja dan kerabat diraja menyertai perarakan dari Quadrangle di Istana Windsor sebelum rombongan berhenti di St George's Chapel pada 3.53 petang.

4 petang (11 malam waktu Malaysia)

Upacara khas dihadiri 800 orang di St George's Chapel. Tetamu sebahagian besarnya adalah kakitangan dan bekas kakitangan istana-istana.

Selepas kira-kira 45 minit, keranda akan diturunkan ke kamar khas, Royal Vault.

7.30 malam (2.30 pagi Selasa, waktu Malaysia)

Ratu Elizabeth II akan disemadikan di King George VI Memorial Chapel di dalam gereja kecil St George's Chapel.

Upacara terakhir ini diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 9:07 PM