ORANG awam memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Ratu Elizabeth II. FOTO AP
ORANG awam memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Ratu Elizabeth II. FOTO AP
AP

London: Ribuan orang sanggup menunggu selama berjam-jam pada Khamis dalam satu barisan memanjang hampir lapan kilometer (km) merentasi London untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Ratu Elizabeth II.

Mereka menunggu sekurang-kurangnya sembilan jam bagi mendapat peluang memberi penghormatan kepada mendiang Ratu di Westminster Hall di Parlimen, melintasi jambatan dan di sepanjang tebing selatan Sungai Thames di seberang Tower Bridge.

Tetapi orang ramai berkata mereka tidak kisah menunggu, dan pihak berkuasa meletakkan tandas mudah alih serta dan fasiliti lain untuk kemudahan mereka yang hadir.

"Saya gembira terdapat barisan panjang beratur kerana ia masa untuk melihat apa yang ada di hadapan kami, memberikan kami menyerap seluruh suasana.

"Saya tidak akan menyukainya, jika saya perlu tergesa-gesa," kata ahli profesional penjagaan kesihatan, Nimisha Maroo.

Seminggu selepas permaisuri meninggal dunia di Istana Balmoral di Scotland selepas 70 tahun menaiki takhta, tumpuan upacara peringatan adalah di Westminster iaitu pusat kuasa politik di London.

Keranda diletakkan di Westminster Hall sehingga Isnin sebelum ia dibawa ke seberang jalan ke Westminster Abbey untuk pengebumian permaisuri.

Istana Buckingham pada Khamis mengeluarkan butiran mengenai upacara itu, pengebumian negara pertama yang diadakan di Britain sejak kematian bekas Perdana Menteri Winston Churchill pada 1965.

Tetamu diraja dan ketua negara dari seluruh dunia dijangka menjadi antara 2,000 orang yang hadir, dengan upacara pengebumian yang lebih kecil dirancang untuk Isnin nanti di Istana Windsor.

Lewat Isnin, permaisuri akan dikebumikan dalam ruang persendirian keluarga di Windsor untuk bersama mendiang suaminya, Putera Philip, yang meninggal dunia tahun lalu.

Senarai tetamu untuk pengebumian negara termasuk Maharaja Jepun Naruhito, Raja Felipe VI dari Sepanyol, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, Presiden Perancis Emmanuel Macron serta Perdana Menteri Kanada, Australia dan New Zealand.

Putera William, pewaris takhta, memberitahu orang ramai bahawa berjalan di belakang keranda neneknya pada Rabu adalah 'mencabar' dan mengimbas kembali kenangan pengebumian ibunya, Puteri Diana selepas kematian pada 1997, ketika beliau hanya berusia 15 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 10:34 AM