ILMU dan pengalaman dalam bidang TVET membolehkan graduan menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai cara termasuk mengadakan kelas.
ILMU dan pengalaman dalam bidang TVET membolehkan graduan menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai cara termasuk mengadakan kelas.
Suliati Asri


KEJAYAAN demi kejayaan yang dikecapi graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak hanya membuktikan kemampuan mereka dalam bidang yang diceburi, tetapi juga secara tidak langsung menafikan stigma yang menganggap ia sebagai pilihan kedua.

Pencapaian yang dikecapi Graduan TVET daripada Institusi Pendidikan MARA (IPMA) misalnya tidak hanya memenuhi keperluan industri tempatan dengan kemahiran praktikal yang diperoleh, tetapi juga mampu bersaing di pasaran global yang semakin kompetitif.

Pengiktirafan terhadap kemahiran dan kepakaran mereka di luar negara adalah bukti pendidikan TVET negara memberikan landasan yang kukuh dalam karier.

Selain itu, kemahiran yang dimiliki graduan TVET MARA juga memberikan peluang besar dalam dunia perniagaan, terutama dalam bidang teknousahawan.

Kreativiti dan inovasi yang mereka bawa dapat membantu menggerakkan industri dan menciptakan solusi baru untuk cabaran masa kini dan masa depan.

Selain itu, pengalaman dan ilmu kemahiran yang dimiliki juga membolehkan graduan TVET ini menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai cara mengadakan kelas atau melatih dalam bidang mereka untuk berkongsi pengetahuan kepada generasi muda atau individu yang ingin mengembangkan nilai tambah dalam diri mereka.

Graduan bidang Elektronik Pengukuran & Kawalan, MARA Japan Industrial Institute (MJII), Farzli Rahimi Othman, 30, adalah contoh terbaik bagaimana pendidikan TVET MARA terutama di bawah IPMA dapat memberikan landasan yang kukuh bagi kejayaan dalam karier profesional.

Farzli kini bekerja sebagai Site Project Engineer di Singapura, dengan pengalaman sebelumnya sebagai Project Engineer di Abu Dhabi untuk projek pembinaan dan pentauliahan akuarium 'in-door' terbesar di dunia.

Berkongsi pembabitan awalnya dalam bidang TVET, dia memilih MJII untuk melanjutkan pengajian bagi merealisasikan cita-citanya sebagai jurutera dalam bidang elektrik dan elektronik kerana percaya kursus TVET MARA yang ditawarkan IPMA adalah kompetitif dengan universiti awam.

Subjek yang dipelajari sepanjang pengajian memberikan pengetahuan teknikal dan kemahiran dalam pelbagai aspek termasuk sistem kawalan, pengesanan dan aktuator, pemilihan peralatan, pemasangan, pentauliahan, pengujian, penyelenggaraan, pengaturcaraan dan pengendalian serta Virtual Instrument System.

Secara tidak langsung, ia membuka peluang yang lebih meluas kepadanya dalam bidang kejuruteraan.

Mengulas sejauh mana penerimaan negara lain terhadap tenaga kerja mahir Malaysia, Farzli berkata tenaga mahir negara sememangnya memenuhi keperluan dan kehendak industri.

"Ramai jurutera kita yang bekerja di luar secara global. Selain kemahiran individu itu sendiri, kursus atau silibus TVET negara adalah diiktiraf.

"Untuk menjadi tenaga kerja atau jurutera yang mahir, pengalaman, pendidikan dan pendedahan awal terhadap TVET adalah wajar bagi melahirkan banyak lagi jurutera profesional," katanya.

Farzli berkata, dengan adanya Dasar TVET Negara 2030 yang dilancarkan baru-baru ini, ia selari dengan pemodenan dan revolusi industri.

Katanya negara juga mampu melahirkan lebih ramai tenaga mahir di dalam bidang teknikal dan kejuruteraan yang boleh memacu dan meningkatkan ekonomi negara untuk keluar dari zon selesa.

"Oleh itu, saya sangat menggalakkan generasi muda menceburi bidang TVET. Kemahiran adalah aset penting kepada individu dan masyarakat dalam memacu perkembangan ekonomi sesebuah negara.

"Negara juga memerlukan tenaga mahir yang mampu menjadi 'game-changer' bagi meningkatkan ekonomi dan gaya hidup. Dengan itu, bagi saya tidak mustahil, kita mampu menjadi negara industri setaraf Jerman dan Jepun, "katanya.

"Dengan memastikan latihan dan pendidikan yang relevan dengan keperluan industri semasa dan masa hadapan, IPMA mampu menghasilkan graduan yang siap bersaing di alam pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi," katanya.

Pengarah Urusan Palm Fiber Sdn Bhd, Mohd Suhaidi Ja'apar, 42, berkata TVET tidak hanya melahirkan tenaga kerja mahir, tetapi juga dapat menghasilkan teknousahawan yang berjaya.

Menurut alumni Institut Kemahiran MARA (IKM) dalam Diploma Pembuatan, pengalamannya sendiri menunjukkan betapa pentingnya pendidikan vokasional ini dalam membuka peluang luas di dunia pekerjaan.

"Sebelum memulakan perniagaan, saya pernah bekerja sebagai jurutera. Ketika itu saya tidak hanya mempelajari bidang , tetapi juga berperanan dalam operasi kilang dan pengeluaran yang mana semua itu juga adalah bidang TVET.

"Bukan itu saja, pelajar TVET selalu mendapat tawaran atau peluang pekerjaan sebelum tamat pengajian. Hal ini sekali gus menunjukkan nilai tinggi yang diberikan kepada kemahiran praktikal yang dipelajari," katanya.

Berkongsi pembabitan awalnya dalam bidang TVET MARA, walaupun memperoleh keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun permohonan Mohd Suhaidi di universiti dalam kejuruteraan tidak berjaya kerana bukan aliran sains.

"Ketika itu, ayah saya mencadangkan untuk mengikuti bidang yang ada di IKM. Demi mencapai cita-cita saya menerima cadangan itu dan bersyukur kerana keputusan membuka banyak peluang dalam kehidupan saya kini.

"Saya tidak hanya mencapai impian menjadi seorang jurutera, tetapi juga kini menjadi seorang teknousahawan yang berjaya," katanya turut memenangi pelbagai anugerah dan pencapaian termasuklah Ikon TVET Kebangsaan 2017, Anugerah Ikon Agro Selangor, Usahawan Eksport Terbaik, Anugerah 50 Enterprise dan Anugerah Say Aspire Selangor.

Di zaman yang penuh cabaran ini, Mohd Suhaidi berkata generasi muda perlu memiliki nilai tambah dan kemahiran yang membolehkan mereka berjaya.

"Saya sangat menggalakkan mereka untuk memilih bidang TVET. Dalam dunia yang sentiasa berubah, nilai tambah diri adalah yang membezakan seseorang individu.

"Bidang teknikal yang luas seperti dalam TVET membolehkan kita untuk terus memperluaskan pengetahuan dan menggabungkan kemahiran dalam pelbagai industri seperti makanan, industri, perkhidmatan, dan teknologi.

"Oleh itu, pendidikan TVET tidak hanya memberi peluang untuk memulakan kerjaya yang stabil, tetapi juga membuka pintu kepada inovasi dan keusahawanan," katanya.

Sementara itu, bagi Kontraktor Elektrik Abdul Hakim Awang Said, pengalaman dan ilmu kemahiran yang dimiliki dalam bidang TVET ini memberi peluang kepadanya untuk menyumbang kepada masyarakat.

Ilmu dalam TVET ini akan semakin bertambah walaupun seseorang itu bukan lagi seorang pelajar.

Menurutnya, dalam kemahiran setiap hari seseorang itu berpeluang mempelajari benda baru kerana ia membabitkan teknikal dan praktikal.

"Sepanjang pengajian saya di IKM Johor Bahru dalam Sijil Pendawaian Elektrik Domestik & Industri Kompeten (PW4) dan Diploma in Electrical Engineering di Malaysia France Institute Unikl (MFI), apabila melakukan kerja pendawaian elektrik sebenar, ia perlu mengikut asas yang kukuh dan peraturan yang di perlukan domestik ataupun industri seperti perkilangan.

"Kelebihan itu membolehkan kami mengaplikasikan secara terus kemahiran yang dipelajari dalam alam pekerjaan. Tambahan pula tenaga pengajar di IKM dan UniKL MFI juga berpengalaman serta mempunyai kompetensi tinggi.

"Dengan kemahiran dan pengalaman mencukupi dalam bidang ini, selain melakukan kerja yang membabitkan pendawaian elektrik, saya juga dapat mengajar mereka yang berminat sekali gus berjaya melatih ramai golongan belia menjadi mahir dan kompeten serta berkelayakan dalam bidang elektrik," katanya.

Keseronokan berkongsi kepada umum mengenai pelbagai topik serta kemahiran yang dimiliki dalam platform TikTok tidak hanya mendapat sambutan dari pengikutnya tetapi mengangkat namanya sehingga digelar idola 'wireman' di Malaysia.

Memanfaatkan gelaran yang diberikan itu, Abdul Hakim akan terus membuat perkongsian yang kepada pengikutnya bukan saja untuk membantu mereka menyelesaikan masalah dalam bidang elektrik tetapi juga untuk menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang TVET.

"Saya sangat menyarankan generasi muda mempelajari sesuatu kemahiran atas faktor dapat memenuhi keperluan dan kehendak pasaran sekarang.

"Ini kerana kemahiran boleh menjadi 'back up plan' selain akademik sekiranya kehilangan pekerjaan sedia ada seperti yang berlaku semasa penularan Covid-19.

"Dengan adanya Kemahiran, ini dapat membuka pilihan lain dan membina kerjaya dengan pilihan Kemahiran yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 7:00 AM