Raja Charles III dan adik beradiknya berada di samping keranda ibu mereka untuk kira-kira 10 minit di  Katedral St Giles. FOTO Reuters
Raja Charles III dan adik beradiknya berada di samping keranda ibu mereka untuk kira-kira 10 minit di Katedral St Giles. FOTO Reuters
Reuters

Edinburgh: Selepas beratur selama beberapa jam, orang awam pertama memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Ratu Elizabeth II di Katedral St Giles di sini, pada Isnin.

Keranda mendiang sebelum ini dibawa dari Istana Balmoral ke Istana Holyroodhouse, sebelum dibawa ke gereja berkenaan untuk tempoh 24 jam.

"Ia adalah cantik, tenang dan aman," kata Marie Claire Cross, 55, yang bekerja dengan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dan beratur sejak 11 pagi untuk memasuki gereja itu, dan dibenarkan berbuat demikian tujuh jam kemudian.

Visual televisyen menunjukkan orang ramai bergerak perlahan melepasi keranda itu, yang dibaluti bendera Royal Standard of Scotland dan diletakkan bunga putih dan mahkota, Crown of Scotland.

Mahkota itu lazimnya digunakan untuk pertabalan diraja di Scotland.

Beberapa orang menundukkan muka ketika melepasi keranda berkenaan, manakala yang lain mengesat air mata.

Ribuan orang beratur untuk memasuki gereja, dengan ramai dijangka memberi hadir memberi penghormatan terakhir, sepanjang malam.

Pada Selasa, keranda itu akan diterbangkan ke London, di mana pada Rabu, ia akan berada di Westminster Hall di ibu negara, sehingga 19 September iaitu tarikh upacara pengebumian.

Pesara guru, Michael Hainsworth, 70, antara orang pertama yang dapat memasuki gereja di Edinburgh.

"Kami amat dukacita. Ia sangat emosional..." katanya sambil ditenangkan oleh isterinya.

Empat pengawal upacara berdiri di empat sudut berhampiran keranda berkenaan.

Untuk tempoh kira-kira 10 minit, mereka disertai oleh Raja Charles dan tiga beradiknya yang berdiri dalam keadaan diam di tepi keranda mendiang ibunya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 8:08 AM