INDIVIDU dijangkiti cacar monyet. FOTO fail AFP
INDIVIDU dijangkiti cacar monyet. FOTO fail AFP
Reuters

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan dua kematian akibat cacar monyet dalam perkembangan terbaharu pada 27 Jun yang menjadikan angka korban kini meningkat kepada tiga sejak penularan tahun ini selain wabak itu sudah merebak ke kawasan baharu.

Jumlah kes juga sudah meningkat 77 peratus, sejak laporan terakhir membabitkan 6,027 kes, menurut WHO.

Sebahagian besar daripada kes yang dilaporkan berlaku di rantau Eropah, namun tiga kematian dilaporkan di Afrika.

Dalam laporan terkini, 99 peratus kes positif wabak itu membabitkan lelaki.

"Wabak ini terus memberi kesan terutamanya kepada lelaki yang melakukan hubungan seks sesama lelaki dengan satu atau beberapa pasangan lelaki lain.

"Setakat ini, tiada petanda penularan wabak ini akan berterusan di luar rangkaian," katanya.

Agensi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang berpangkalan di Geneva itu akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa yang akan menasihati mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan global, tahap amaran tertinggi WHO, pada minggu bermula 18 Julai atau lebih awal, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Rabu.

Dalam taklimat berasingan, badan kesihatan awam terkemuka Afrika berkata, wabak cacar monyet di kawasan lain mungkin terbukti kurang membawa maut kerana diagnosis dan mendapat rawatan awal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 10:26 AM