TIUB sampel virus cacar monyet. FOTO Reuters.
TIUB sampel virus cacar monyet. FOTO Reuters.
AFP

Geneva: Jawatankuasa pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertemu pada Khamis bagi membincangkan sama ada wabak cacar monyet wajar diisytihar kecemasan kesihatan sedunia.

Keputusan pertemuan itu akan diumum seawal Jumaat, menurut badan itu.

Lonjakan kes cacar monyet mula dikesan sejak Mei lalu di luar Barat dan Afrika Tengah yang mana penyakit itu sudah lama menjadi endemik.

Kebanyakan kes baharu pula berlaku di Eropah Barat, dengan hingga kini WHO menerima laporan lebih 3,200 kes disahkan dan satu kematian daripada 48 negara.

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus memaklumkan perkembangan itu ketika memulakan mesyuarat berkenaan.

Pada 14 Jun lalu, beliau dilapor akan memanggil jawatankuasa kecemasan untuk menilai sama ada wabak itu merupakan kecemasan kesihatan awam kebimbangan antarabangsa (PHEIC) - amaran tertinggi boleh dikeluarkan agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Selain mengeluarkan penilaian PHEIC, ahli jawatankuasa perlu memberi nasihat kepada WHO dan negara anggota mengenai cara mencegah penularan penyakit itu secara lebih baik dan mengurus tindak balas.

Tedros memberitahu mesyuarat itu bahawa semua negara perlu mengukuhkan kapasiti mereka untuk mencegah penularan cacar monyet secara pengawasan, pengesanan kenalan dan mengasingkan pesakit yang dijangkiti.

"Wabak di negara yang baru terjejas, terus berlaku terutamanya dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks sama jantina dan mereka yang dilapor berhubungan dengan pasangan baharu atau berbilang orang," katanya menerusi pautan video daripada sidang kemuncak Komanwel di Kigali, Rwanda.

Menurutnya, transmisi dari orang ke orang juga berlaku dan ia mungkin dipandang ringan.

Sebagai tambahan kepada 3,200 lebih kes yang disahkan, Tedros berkata, hampir 1,500 kes disyaki cacar monyet dan kira-kira 70 kematian yang disyaki telah dilaporkan di Afrika Tengah, tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 11:44 AM