VAKSIN cacar monyet. FOTO AP
VAKSIN cacar monyet. FOTO AP
AFP

Geneva: Lebih 50,000 kes jangkitan cacar monyet direkodkan di seluruh dunia.

Angka berkenaan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu walaupun penularan semakin perlahan di kawasan panas virus di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Rekod WHO menyenaraikan 50,496 kes dan 16 kematian seperti kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini yang mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan awam global, Julai lalu.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, penurunan dalam jangkitan baharu membuktikan wabak itu boleh dihentikan.

"Amerika yang menyumbang lebih separuh daripada kes yang dilaporkan dengan beberapa negara terus menunjukkan peningkatan jangkitan, walaupun ia ada trend menurun yang berterusan di Kanada.

"Sesetengah negara Eropah, termasuk Jerman dan Belanda penularan wabak berlaku secara perlahan, menunjukkan keberkesanan campur tangan kesihatan awam dan pembabitan masyarakat untuk mengesan jangkitan dan mencegah penularan.

"Tanda-tanda ini mengesahkan apa yang kami katakan secara konsisten sejak awal bahawa dengan langkah betul, wabak ini boleh dihentikan," katanya pada sidang media.

Sementara itu, Ketua WHO Eropah berkata, wabak itu semakin menunjukkan tanda-tanda penularan perlahan di benua berkenaan.

Ketua Teknikal WHO mengenai wabak itu, Rosamund Lewis berkata, sebarang bentuk hubungan fizikal dengan seseorang yang mempunyai virus itu akan menyebabkan mereka berisiko untuk dijangkiti.

"Majoriti besar kes hari ini masih dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki sama ada mereka gay, biseksual atau sebaliknya mempunyai hubungan dengan lelaki lain yang menghidap cacar monyet.

"Tiada sebarang laporan mengenai penularan cacar monyet melalui pemindahan darah," katanya pada sidang media.

Lonjakan kes jangkitan cacar monyet dilaporkan sejak awal Mei lalu dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan sejenis di luar negara Afrika yang sejak sekian lama sudah menjadi endemik.

WHO mengeluarkan tahap amaran tertinggi pada 24 Julai lalu dengan mengklasifikasikannya sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa selain Covid-19.

Negara yang melaporkan lebih 1,000 kes kepada WHO ialah AS (17,994), Sepanyol (6,543), Brazil (4,693), Perancis (3,547), Jerman (3,467), Britain (3,413), Peru (1,463), Kanada (1,228) dan Belanda (1,160).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 11:13 AM