FOTO HIASAN. FOTO Reuters
FOTO HIASAN. FOTO Reuters
AFP

Geneva: Angka jangkitan cacar monyet seluruh dunia sudah mencapai 70,000 kes, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada Rabu.

Namun, WHO tetap mengingatkan orang ramai bahawa penurunan kes wabak itu tidak membolehkan tindakan pemantauan turut dikurangkan.

WHO berkata, jumlah kes minggu lalu semakin meningkat di beberapa negara di benua Amerika, namun penurunan kes baharu di seluruh dunia boleh menjadi masa 'paling berbahaya' untuk wabak itu menular.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, lebih 70,000 kes kini dilaporkan kepada agensi kesihatan PBB itu, sepanjang tahun ini dengan 26 kematian.

"Secara global, kes terus menurun tetapi 21 negara melaporkan peningkatan kes, kebanyakannya di benua Amerika minggu lalu.

"Angka itu menyumbang hampir 90 peratus daripada semua kes yang dilaporkan minggu lalu," katanya dalam sidang akhbar.

Beliau berkata, WHO kini bekerjasama dengan beberapa negara untuk meningkatkan kapasiti ujian selain memantau trend jangkitan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 10:01 AM