ORANG ramai berhimpun mendesak kerajaan mengambil tindakan menangani penularan cacar monyet di Foley Square, New York.  FOTO AFP.
ORANG ramai berhimpun mendesak kerajaan mengambil tindakan menangani penularan cacar monyet di Foley Square, New York. FOTO AFP.
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengisytiharkan penularan cacar monyet sebagai darurat kesihatan global iaitu amaran tahap tertinggi.

"Saya memutuskan bahawa penularan cacar monyet global mewakili darurat kesihatan awam yang berpotensi mencetuskan kebimbangan peringkat antarabangsa," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Dalam sidang media, beliau berkata, pengisytiharan tahap tertinggi diputuskannya selepas jawatankuasa pakar yang bermesyuarat pada Khamis tidak mencapai kata sepakat.

"Penilaian WHO ialah risiko cacar monyet sederhana di seluruh dunia dan di semua rantau, kecuali di rantau Eropah, yang mana kami menilainya sebagai berisiko tinggi," katanya.

Menurut data Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) dikeluarkan pada Jumaat, cacar monyet sudah menjangkiti lebih 16,800 orang di 74 negara.

Keseluruhan 98 peratus pesakit dijangkiti wabak itu adalah lelaki gay dan biseksual, manakala satu pertiga dikenal pasti sebagai individu mengamalkan seks bebas.

Tedros sebelum ini menyatakan kebimbangan bahawa stigma boleh menjadikan wabak itu lebih sukar untuk dikesan.

Bagaimanapun, wabak itu yang tertumpu dalam kalangan lelaki berhubungan dengan golongan sejenis dan mereka banyak pasangan seksual, bermaksud ia boleh dihentikan dengan strategi yang tepat dan kumpulan sasar yang betul.

Beliau menggesa semua negara untuk mendekati komuniti itu untuk menyampaikan maklumat dan perkhidmatan serta mengambil langkah betul yang melindungi komuniti terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 9:53 AM