FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
AFP

Vienna: Laporan terbaharu Kesatuan Eropah (EU) menyatakan gerakan anti-Yahudi dikesan berkembang ketika pandemik Covid-19 khususnya dalam talian, namun data yang dikumpul masih sukar mengesan keseriusan masalah berkenaan.

Laporan itu menyatakan, pembohongan lama dihidupkan semula, mitos anti-Yahudi dan teori konspirasi baharu yang menyalahkan orang Yahudi penyebab penularan wabak itu diketengahkan.

"Anti-Yahudi khususnya dalam talian berkembang ketika pandemik," kata laporan oleh Agensi Hak Asasi EU.

Penyelidikan agensi itu juga mendapati bahawa tindakan anti-Yahudi secara konsisten semakin kurang dilaporkan dan kekurangan data mengenai isu itu menjadikan ia sukar untuk menangani masalah berkenaan.

Laporan itu berdasarkan penemuan pada semakan data rasmi yang disusun negara anggota EU, yang digelar data tidak rasmi daripada organisasi masyarakat awam.

Malah, tiada data rasmi tersedia daripada dua negara anggota iaitu Hungary dan Portugal.

Kumpulan hak asasi manusia di Jerman mencatatkan kaitan antara peningkatan anti-Yahudi dengan pandemik Covid-19.

RIAS, sebuah kumpulan pemantau anti-Yahudi, berkata pada bulan-bulan pertama pandemik itu, 44 peratus insiden yang dirakamnya dikaitkan dengan Covid-19.

Satu persekutuan komuniti Yahudi di Republik Czech pula merekodkan 874 insiden pada 2020, meningkat daripada 694 insiden pada tahun sebelumnya.

Hampir keseluruhan insiden itu disiarkan dalam media atau dalam talian dan banyak teori konspirasi anti-Yahudi dikaitkan dengan wabak itu.

"Anti-Yahudi adalah masalah serius. Tetapi tanpa data, kita tidak tahu tahap keseriusannya," kata pengarah organisasi itu, Michael O'Flaherty, dalam satu kenyataan bagi memperkenalkan laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 6:52 PM