ORANG ramai di luar Pusat Islam Imdadul ketika solat Jumaat di Toronto. FOTO Reuters
ORANG ramai di luar Pusat Islam Imdadul ketika solat Jumaat di Toronto. FOTO Reuters
Guardian

Toronto: Ratusan penduduk Kanada berkumpul di beberapa masjid dan membentuk 'bulatan perlindungan' atau 'bulatan keamanan' ketika solat Jumaat pertama sejak enam orang terkorban dalam serangan di masjid di Quebec, 29 Januari lalu.

Menurut laporan The Guardian, ratusan orang di Toronto, kebanyakannya daripada saumaah, gereja dan tokong berdiri sebelah menyebelah di luar tujuh masjid di Toronto, Jumaat lalu.

Rabai Yael Splansky yang menganjurkan usaha ini berkata, rakyat Kanada tidak sepatutnya takut untuk bersolat di rumah ibadah masing-masing.

"Ia satu senario yang menggerunkan. Bayangkan jika orang ramai hendak beribadat dengan aman, berdoa untuk keamanan dan berada dalam bahaya.

"Rumah ibadat adalah tempat suci dan harus dilindungi," katanya.

Splansky berkata, idea itu diilhamkan berdasarkan sekumpulan umat Islam di Oslo yang berdiri mengeliling saumaah di Oslo sekaligus melindungi mereka yang bersembahyang di situ pada 2015 apabila komuniti Yahudi di Eropah diserang sentimen anti-Yahudi di Perancis dan Denmark.

ORANG ramai di luar Pusat Islam Imdadul ketika solat Jumaat di Toronto. FOTO Reuters
ORANG ramai di luar Pusat Islam Imdadul ketika solat Jumaat di Toronto. FOTO Reuters

Sementara itu, orang ramai di Ottawa dan Edmonton turut memberi perlindungan sama, manakala di Newfoundland, ratusan penduduk melindungi umat Islam di satu-satunya masjid di St John's.

Jurucakap Persatuan Muslim Newfoundland dan Labrador, Syed Pirzada berkata, umat Islam di situ terharu dengan sokongan yang diterima.

Syed berkata, Kanada sudah bersuara: "Tidak kepada kebencian, tidak kepada ketaksuban, tidak kepada keganasan agama, tidak kepada sikap tidak bertoleransi."

"Walaupun tragedi ini memberi kesan yang tidak boleh diperbaiki kepada umat Islam di seluruh negara, kebaikan dan kemurahan hati rakan senegara menjadi sumber ketenangan," kata Syed.

Dalam kejadian 29 Januari lalu, enam umat Islam terkorban apabila ditembak ketika di dialam masjid di Quebec City.

Pada 30 Januari, Alexandre Bissonnette dihadapkan ke mahkamah atas enam pertuduhan pembunuhan dan lima pertuduhan cubaan membunuh dengan senjata terhad berkaitan dengan kejadian yang mengorbankan enam orang dan mencederakan 17 lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 11:14 PM