OBAMA
OBAMA
AP

Washington

Presiden Barack Obama dalam ucapan ‘State of the Union’ kelmarin berikrar memburu pengganas dari ‘Pakistan hingga ke jalanan Paris.’

Sehubungan itu, beliau menggesa Kongres meluluskan pemberian kuasa peperangan baru bagi menentang militan, khususnya Negara Islam (IS).

Obama berkata, tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq dan Syria setakat ini berjaya menghalang kemaraan IS, tetapi meminta penggubal undang-undang AS, baik kerajaan mahupun pembangkang. menunjukkan negara itu bersatu dalam memerangi kumpulan berkenaan.

Menurutnya, AS mempelajari banyak perkara walaupun terpaksa membayar harga tinggi sejak memulakan usaha melawan keganasan ekoran serangan 11 September 2001 dan semua itu digunakan sebaiknya dalam menentang ekstremis IS.

“Daripada diheret menyertai satu lagi peperangan di Asia Barat, kita kini mengetuai usaha pelbagai pihak termasuk negara Arab untuk melemahkan dan seterusnya menghapuskan kumpulan pengganas itu,” katanya.

Dalam ucapan State of the Union itu yang dilakukan setiap Presiden Amerika setahun sekali, Obama turut menyelar pendirian anti-Yahudi yang semakin berleluasa di seluruh dunia.

Obama juga berkata, beliau tidak akan mengubah pendiriannya untuk menutup pusat penahanan Guantanamo Bay.

Beliau yang sebelum ini gagal dalam kempennya pada 2008 untuk menutup penjara di pangkalan tentera laut AS di Cuba itu berkata: “Sudah tiba masanya untuk menyelesaikan isu ini.”

Menurutnya, tidak masuk akal untuk kerajaan menghabiskan lebih AS$3 juta (RM10.9 juta) bagi setiap banduan semata-mata dengan membiarkan penjara yang dikecam masyarakat dunia beroperasi, apatah lagi ia menjadi lokasi pengganas merekrut anggota baru.

“Penjara itu tidak langsung menggambarkan nilai rakyat Amerika,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 5:12 AM