PENDUDUK Palestin menunaikan solat Tarawih di perkarangan Masjid al-Aqsa. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin menunaikan solat Tarawih di perkarangan Masjid al-Aqsa. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Kira-kira 50,000 jemaah Palestin menunaikan solat Tarawih di Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur, pada Khamis, lapor Agensi Anadolu.

Walaupun wilayah itu masih dalam sekatan Israel, penduduk tetap menunaikan ibadah bagi mengisi malam Ramadan.

Dalam satu kenyataan ringkas, Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis berkata, hampir 50,000 jemaah menghadiri solat Tarawih di Masjid al-Aqsa, menjelang Jumaat kedua Ramadan.

Agensi berita rasmi Palestin, Wafa, pula berkata, tentera Israel menutup Jalan Al-Wad di Kota Lama Baitulmaqdis, seterusnya menghalang akses ke masjid itu.

Israel menyekat akses jemaah Palestin ke Masjid al-Aqsa di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di seluruh Tebing Barat yang diduduki, berikutan serangan berterusan tentera Israel di Semenanjung Gaza susulan serangan rentas sempadan pada 7 Oktober tahun lalu.

Masjid al-Aqsa adalah tapak ketiga paling suci di dunia untuk umat Islam.

Orang Yahudi memanggil kawasan itu sebagai Temple Mount, mendakwa ia adalah tapak dua kuil Yahudi pada zaman dahulu.

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, di mana terletaknya Masjid al-Aqsa, semasa Perang Arab-Israel 1967.

Ia kemudian menggabungkan seluruh bandar itu pada 1980 dalam satu langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 10:21 AM