TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan.
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan.
Reuters

Baitulmaqdis: Tentera Israel mengikat seorang lelaki Palestin yang cedera pada jip tentera semasa serbuan di bandar Jenin di Tebing Barat, pada Sabtu.

Sebuah video yang tular di media sosial dan disahkan oleh Reuters menunjukkan seorang rakyat Palestin di Jenin, Mujahed Azmi, menaiki jip yang dipandu melepasi dua ambulans.

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, pihaknya ditembak dan berlaku insiden saling berbalas tembakan sehingga mencederakan seorang suspek sebelum pihaknya menahan individu berkenaan.

Askar kemudian melanggar protokol ketenteraan, kata kenyataan itu.

"Suspek diambil oleh pasukan itu semasa diikat di atas kenderaan. Kelakuan pasukan dalam video insiden itu tidak menepati nilai.

"Tentera Israel dan insiden itu, akan disiasat dan ditangani. Individu terbabit sudah dipindahkan ke pakar perubatan untuk rawatan," kata tentera.

Menurut keluarga Mujahed, terdapat serbuan semasa tangkapan.

Dilaporkan, Mujahed mengalami kecederaan semasa serbuan, dan apabila keluarga meminta ambulans, tentera mengambilnya, mengikat dan memandu pergi.

Reuters dapat memadankan lokasi daripada rakaman yang menyokong dan disahkan, dikongsi di media sosial, menunjukkan kenderaan dengan individu terbabit diikat pada kenderaan itu di Jenin.

Dalam pada itu, Reuters menerusi laporan berasingan yang memetik pegawai kesihatan di Gaza berkata, serangan udara Israel pada Sabtu membunuh sekurang-kurangnya 24 orang di utara wilayah itu,

Ia sehari selepas Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah berkata, 22 orang terbunuh dalam tembakan yang merosakkan pejabatnya.

Serangan itu menambah sekurang-kurangnya 120 kematian dalam tempoh 48 jam sebelumnya yang dilaporkan oleh kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas, awal Sabtu.

Dr Mahmud Aliwa dari Hospital Al-Ahli di Bandar Gaza berkata, kemudahannya menerima 24 mayat selepas serangan itu, yang menyebabkan asap berkepul di atas bandar berkenaan.

Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Basal memberitahu AFP, sekurang-kurangnya 20 terbunuh dalam serangan ke atas sebuah rumah di kawasan kejiranan Al-Tuffah, manakala serangan di kem pelarian Al-Shati meragut nyawa empat yang lain.

"Orang ramai sedang menjalankan perniagaan mereka" apabila, tiba-tiba, "seluruh kawasan itu musnah" dalam serangan udara, kata Abu Mahmud al-Kariri, seorang saksi di Al-Shati.

Terdahulu pada Sabtu, tentera Israel berkata, jet pejuangnya menyerang "dua tapak infrastruktur tentera Hamas" di kawasan Bandar Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 11:38 AM