API dan asap tebal susulan serangan Israel di Gaza. FOTO AFP
API dan asap tebal susulan serangan Israel di Gaza. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Tentera udara Israel melakukan serangan udara semalamam yang menyasarkan tapak pejuang Hamas di Semenanjung Gaza.

Ia adalah serangan balas yang dibuat selepas roket dilepaskan dari kawasan Palestin ke arah wilayah Israel.

Tentera Israel melaporkan pada petang semalam sebuah roket dilepaskan dari Gaza ke arah Israel, insiden pertama dalam sebulan.

Serangan itu berlaku ketika salah satu kumpulan bersenjata yang lebih besar di Gaza, Jihad Islam bertindak balas selepas rejim Israel membunuh dua pemimpinnya di bandar Jenin, Tebing Barat pada Khamis.

"Sebagai tindak balas kepada roket yang dilepaskan ke arah wilayah Israel, jet pejuang Angkatan Pertahanan Israel (IDF ) menyasarkan tapak pembuatan senjata milik pejuang Hamas.

"Sasarannya adalah tapak di mana majoriti roket organisasi di Semenanjung Gaza sedang dihasilkan.

"Pasukan Pertahanan Israel juga membedil terowong pejuang Hamas di selatan Semenanjung Gaza", kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

Sumber keselamatan di Gaza melaporkan dua serangan di selatan enklaf itu, satu terhadap tapak latihan ketenteraan di Khan Younis, dan satu lagi di kawasan tidak berpenghuni berhampiran Rafah.

Serangan itu tidak menyebabkan kecederaan, menurut sumber perubatan Palestin.

Sekurang-kurangnya 145 penduduk Palestin dan 26 penduduk Israel terbunuh dalam keganasan di Israel dan Tebing Barat, tahun ini, sekali gus jumlah tertinggi sejak 2015.

Pada Ogos lalu, sekurang-kurangnya 49 rakyat Palestin, termasuk pejuang tetapi juga orang awam, terbunuh.

Kejadian berlaku ketika tiga hari pertempuran antara Israel dan pejuang Palestin di Gaza, yang berada di bawah sekatan Israel sejak 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 11:55 AM