ASAP tebal dari sebuah bangunan ketika serbuan Israel di Jenin, Tebing Barat. FOTO AFP
ASAP tebal dari sebuah bangunan ketika serbuan Israel di Jenin, Tebing Barat. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Lima rakyat Palestin terbunuh dalam serbuan dan tembakan dari helikopter tentera Israel di Tebing Barat, semalam.

Lapan anggota keselamatan Israel turut cedera dalam serbuan itu.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, lima terbunuh dan sekurang-kurangnya 91 yang lain cedera dalam insiden itu.

Mereka yang dikenal pasti maut ialah Ahmed Saqer, 15; Khaled Assassa, 21; Qais Jabareen, 21; Ahmad Daraghmeh, 19; dan Qassam Abu Saria, 29.

Antara yang cedera ialah wartawan Palestin, Hazem Nasser, yang dimasukkan ke hospital dengan kesan tembakan.

Bunyi tembakan kedengaran di seluruh Jenin ketika rakyat Palestin yang cedera dibawa dengan ambulans ke Hospital Ibn Sina di utara Tebing Barat, kata seorang wartawan AFP.

Orang ramai, antaranya lelaki bersenjata Palestin, berkumpul di luar hospital kerajaan di Jenin untuk pengebumian mereka yang terbunuh dalam pertempuran 11 jam itu.

Timbalan Gabenor Jenin, Kamal Abu al-Rub, memberitahu AFP, tentera Israel melancarkan serbuan itu kira-kira 4 pagi.

"Tentera menyerbu kem pelarian Jenin dan bandar selepas jemaah beramai-ramai solat Subuh. Berlaku tembakan yang sangat hebat," katanya.

Penduduk kem pelarian Jenin, Bassem Talib, 38, berkata, dia terjaga apabila mendengar bunyi tembakan pada 4.15 pagi.

"Tentera menyasarkan apa sahaja yang bergerak... tidak ada keselamatan," katanya.

Seorang wartawan AFP di tempat kejadian berkata tentera Israel berundur dari Jenin pada 3.10 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 10:46 AM