IBU kepada Mateen (tengah) menangis kematian anaknya. FOTO AFP
IBU kepada Mateen (tengah) menangis kematian anaknya. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Tiga rakyat Palestin termasuk seorang doktor terbunuh dalam serbuan Israel di bandar Jenin di Tebing Barat, semalam.

Beberapa jam selepas insiden itu, tentera rejim membunuh seorang remaja Palestin yang didakwa melepaskan tembakan ke arah penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan, Dr Abdullah al-Ahmad meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya selepas ditembak tentera Israel.

Kementerian berkata, Dr Abdullah ditembak di luar hospital kerajaan yang terletak di pinggir kem pelarian itu.

Seorang wartawan AFP berkata, doktor itu menjalani pembedahan kecemasan di kemudahan itu selepas insiden tembakan itu.

Sayap Bersenjata Gerakan Fatah menyifatkan, Dr Abdullah sebagai komandernya yang meninggal dunia selepas pertempuran bersenjata dengan tentera Israel.

Jurucakap kementerian itu memberitahu AFP, seorang lagi warga Palestin, Mateen Debaya, turut terbunuh dalam serbuan di kem pelarian di bandar itu, manakala lima yang lain cedera.

Kumpulan pejuang Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza menamakan Mateen sebagai pejuang.

Agensi berita Palestin, Wafa berkata, Perdana Menteri Mohammed Shtayyeh sedang berkabung kerana doktor itu ditembak mati tentera Israel ketika dia cuba menyelamatkan mangsa.

Orang ramai yang berkabung berkumpul untuk pengebumian berasingan kedua-dua lelaki itu di mana jenazah mereka diusung melalui jalan-jalan.

Sementara itu, tentera Israel enggan mengulas mengenai individu yang terbunuh.

Puluhan rakyat Palestin ditembak mati dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan hampir setiap hari Israel melakukan serbuan di seluruh Tebing Barat.

Mereka yang terbunuh termasuk pejuang serta orang awam seperti wartawan Palestin-Amerika Syarikat, Shireen Abu Akleh yang ditembak pada Mei ketika membuat liputan serbuan tentera di Jenin.

Kementerian Kesihatan merekodkan, dua remaja Palestin ditembak mati, Sabtu lalu, semasa serbuan di Jenin, manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia Isnin lalu akibat kecederaan yang dialami bulan lalu.

Tentera Israel kini memburu penyerang yang menembak mati dua tentera mereka, dalam insiden berasingan sepanjang minggu lalu.

Seorang tentera terbunuh berhampiran Nablus, Selasa lalu, manakala seorang lagi ditembak mati di pusat pemeriksaan Baitulmaqdis timur, Sabtu lalu.

Pemburuan terhadap lelaki bersenjata di Baitulmaqdis mendorong operasi besar-besaran di dalam kem pelarian Shuafat di bandar itu sekali gus menjejaskan kehidupan seharian penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 10:58 AM