SUDU elektrik pengganti kepada garam. FOTO Reuters.
SUDU elektrik pengganti kepada garam. FOTO Reuters.
Agensi

Tokyo: Sudu elektrik yang dikuasakan dengan bateri litium untuk menjadikan makanan berasa lebih masin mula dijual di Jepun, dengan sasaran membantu orang ramai yang bergelut mengurangkan pengambilan garam dalam makanan.

Sudu itu yang diperbuat daripada plastik dan logam dikatakan mampu mempromosi tabiat pemakanan sihat, menurut penyelidik, selepas pengambilan garam berlebihan cenderung mengakibatkan tekanan darah tinggi, strok dan masalah kesihatan lain.

Syarikat pengeluarnya, Kirin berkata, Sudu Garam Elektrik akan berfungsi mengalirkan arus elektrik lemah melalui hujung peranti untuk menumpukan molekul ion natrium pada lidah manusia.

"Ini meningkatkan rasa masin dalam makanan sebanyak satu setengah kali ganda.

"Pengguna boleh memilih tahap intensiti pilihan mengikut empat tahap berbeza," menurut syarikat berpangkalan di Jepun itu.

Sebanyak 200 unit sudu itu sudah terjual dalam talian pada harga 19,800 yen (RM592.38 ) seunit, sebelum ia dipasar peruncit di negara matahari terbit itu pada bulan ini, namun dalam jumlah terhad.

Syarikat itu juga menyasarkan penjualan ke atas sejuta pengguna di seluruh dunia dalam tempoh lima tahun.

Inovasi baharu itu dibangunkan bersama profesor Universiti Meiji, Homei Miyashita yang sebelum ini menunjukkan uji kaji kesan penambah rasa dalam prototaip penyepit elektrik menggunakan arus.

Beliau juga pernah memenangi hadiah Ig Pemakanan Nobel tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 2:37 PM