MAKANAN proses dan ringan mengandungi garam yang tinggi. - FOTO Google
MAKANAN proses dan ringan mengandungi garam yang tinggi. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


Sebut saja juadah yang mampu membuka selera ketika bersahur, selalunya sajian ikan kering atau telur masin antara yang menjadi pilihan.

Tidak hairanlah menjelang saja Ramadan, ramai membuat persediaan terutama stok ikan kering dan telur masin yang banyak supaya tidak terlepas menikmati hidangan itu.

Bagi orang dulu-dulu, sajian ikan kering menjadi pilihan kerana penyediaannya mudah selain dapat meningkatkan selera makan.

Tidak kurang juga mempunyai pandangan, pengambilan ikan kering dikatakan sudah menjadi 'amalan' dan pilihan sebagai sajian sahur. Sajian itu turut dikatakan membantu memberikan mineral mencukupi untuk mengharungi cabaran puasa seharian.

Menjadi persoalan ialah sejauh mana tabiat pengambilan makanan yang mengandungi sumber garam terutama dalam hidangan seperti ikan kering dan telur masin dapat membantu menjalani ibadah puasa dengan baik?

Pegawai Permakanan Nadirah Khairuddin berkata, berbanding kebaikan pengambilan makanan yang tinggi garam ketika bulan puasa memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Kata Nadirah, garam yang juga perisa makanan adalah sebatian kimia bagi dua komponen iaitu 60 peratus klorida dan 40 peratus natrium.

Tidak dinafikan dalam seharian, kebergantungan terhadap garam cukup tinggi bukan sahaja sebagai perisa malah turut digunakan untuk mengawet makanan seperti ikan kering dan telur masin.

"Peranan garam sebagai bahan perisa sangat versatil kerana ia mampu bertindak pelbagai cara untuk meningkatkan rasa makanan.

PENGGUNAAN garam dalam sayur dan buah kelat kerana dapat singkirkan rasa kurang enak. - FOTO Google
PENGGUNAAN garam dalam sayur dan buah kelat kerana dapat singkirkan rasa kurang enak. - FOTO Google

"Dalam unsur rasa, garam bukan sekadar mencipta rasa 'masin' iaitu rasa yang paling diingini manusia dan pada masa sama menutupi rasa lain seperti manis serta pahit.

"Satu yang unik lagi mengenai peranan garam ialah dengan jumlah kecil ia mampu menonjolkan ciri-ciri rasa lain. Sebagai contoh jika ditaburkan pada buah-buahan segar atau ditambah pada gula-gula seperti caramel," katanya.

Tambah Nadirah, garam juga digunakan untuk mengatasi rasa pahit makanan terutama bagi sayur-sayuran hijau seperti brokoli selain buah zaitun.

Keistimewaan garam yang membantu membebaskan molekul tertentu dalam makanan, dikatakan dapat mengeluarkan beberapa perisa daripada ramuan selain menjadikannya lebih aromatik.

"Jika bercakap mengenai pilihan juadah ikan kering dan telur masin ketika bersahur, aroma serta rasa menerusi tindak balas garam dengan ramuan menjadikan sajian ringkas itu cukup 'menggoda' ketika dinikmati awal pagi.

"Biasanya ketika itu kurang selera kerana terlalu awal tetapi dengan juadah ikan masin dan telur masin dapat membangkitkan selera," katanya.

Di sebalik kebaikan garam yang membantu menaikkan selera dan mendorong untuk bersahur, kata pegawai permakanan itu, terdapat implikasi tidak sihat jika ia menjadi tabiat selain pengambilan berlebihan.

"Menurut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan garam sehari hanyalah 5 gram iaitu menyamai satu sudu teh sahaja.

"Ia termasuklah garam yang nyata atau tersembunyi dalam bahan perisa, makanan terproses, makanan diawet atau makanan ringan.

"Berdasarkan tinjauan Malaysian Community Salt Survey (MyCoSS 2019), empat daripada lima orang dewasa Malaysia mengambil garam melebihi saranan. Purata pengambilan garam rakyat dewasa di Malaysia ialah 7.9 gram iaitu 1.6 sudu teh sehari.

IKAN kering dan telur masin antara juadah kerap menjadi pilihan ketika bersahur di bulan Ramadan. - FOTO Google
IKAN kering dan telur masin antara juadah kerap menjadi pilihan ketika bersahur di bulan Ramadan. - FOTO Google

"Ada yang mengatakan mereka menggunakan garam lebih 'sihat' contohnya menggunakan garam bukit, garam buluh atau garam Kosher berbanding garam biasa. Realitinya adalah kandungan natrium hampir sama. Tiada istilah jenis garam digunakan berbeza antara satu sama lain," katanya.

Berbalik kepada kesan pengambilan ikan kering dan telur masin iaitu antara makanan tinggi garam ketika berpuasa, kata Nadirah, ia dikhuatiri menjejaskan kesihatan tubuh.

"Garam jika berada dalam tubuh, fungsinya seperti 'span' iaitu menyerap kandungan air. Pengamalan makanan tinggi garam di bulan puasa meningkatkan rasa dahaga.

"Situasi itu juga menyebabkan aras natrium dalam darah meningkat (hypernatremia), iaitu isipadu cecair dalam salur darah meningkat, tekanan dalam salur juga menjadi tinggi lalu mengakibatkan jantung berkerja keras.

"Sekiranya ia berterusan, individu terbabit boleh mengalami kekejangan otot, sawan dan koma," katanya.

Sebaiknya ketika Ramadan, kesempatan itu digunakan bagi membina tabiat baik terutama dalam gaya hidup agar lebih sihat.

"Ramadan sebenarnya masa terbaik untuk mendisiplinkan diri. Aturan waktunya lebih tersusun yang mana waktu sahur dan berbuka sudah ada masa khusus.

"Kesempatan itu digunakan sebagai permulaan untuk latih diri bermula dengan pilihan juadah betul dan sihat selain aturan waktu senaman serta tidur yang mencukupi," katanya.

Tip kurangkan garam ketika memasak:

1. Banyakkan penggunaan perencah asli seperti jus limau, lengkuas, serai, bawang, halia dan rempah-ratus

2. Gunakan kicap, sos dan garam secara sedikit dalam masakan

3. Gunakan bahan semula jadi dan bukan yang sudah diproses (sebagai contoh gunakan sayur-sayuran dan buah-buahan segar berbanding yang dijeruk)

4. Sekiranya perlu tambah garam, lakukan selepas api gas ditutup. (Rasa masin akan lebih ketara dalam masakan yang kurang panas)

5. Utamakan cara masakan berkuah atau bersup kerana masin akan ketara dalam masakan berkuah.

6. Rendam bahan kering seperti ikan bilis, ikan kering dan udang kering sebelum dimasak untuk mengurangkan kandungan garam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 7:00 AM