RAMAI gemar makan mi segera.
RAMAI gemar makan mi segera.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Murah dan mudah disediakan menyebabkan mi segera sentiasa menjadi makanan pilihan ramai.

Malah, mi segera turut dijadikan 'makanan penyelamat' untuk mengalas perut pada lewat malam atau hujung bulan.

Bagaimanapun, tidak digalakkan makan mi segera dengan kerap kerana boleh menyebabkan masalah kesihatan dalam jangka masa panjang.

Pegawai Sains Pemakanan Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Munirah Mohd Nasir berkata, ini kerana mi segera mengandungi kandungan sodium dan lemak yang tinggi.

Menurutnya, pengambilan sodium yang tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit iaitu darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

"Kandungan sodium dalam satu peket mi segera boleh mencecah 1,000 miligram (mg).

"Bahkan, ada sesetengah jenama mi segera yang lain pula, kandungan sodium untuk satu paket makanan ini hampir 2,500mg," katanya

Beliau berkata, mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), individu tidak digalakkan mengambil 2,000mg sodium sehari yang bersamaan satu sudu teh garam.

"Jika individu makan mi segera, berkemungkinan mereka sudah mengambil sodium melebihi had ditetapkan.

"Bagi yang gemar menghirup kuah mi segera, mereka sebenarnya mengambil banyak perasa tambahan dan sodium," katanya.

Munirah berkata, trend makan mi segera bukan lagi memasak di rumah, tetapi kini sudah berubah apabila mi segera seperti ramen boleh dibeli di kedai serbaneka yang dimasak dengan campuran bahan tambahan seperti keju, sosej dan nuget.

"Makanan yang diubah suai menjadi 'hipster' ini ada kalanya membuatkan kita tersalah dalam membuat pilihan makanan yang betul dan makan ramen terlalu kerap terutamanya kalangan remaja.

"Kita bimbang pengambilan makanan tinggi perasa dan pewarna boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit tiga serangkai pada masa hadapan, seterusnya tidak dapat menghentikan kitaran itu," katanya.

Untuk rekod, berdasarkan maklumat daripada World Instant Noodles Association (WINA) menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan 15 negara teratas di dunia yang tinggi permintaan terhadap mi segera.

Katanya, penggunaan garam dalam masakan perlu dihadkan kerana apabila sudah terbiasa dengan makanan masin, menyebabkan lidah cenderung memilih makanan lebih masin.

"Ini kerana lidah sudah terbiasa dengan sesuatu yang masin akan menyebabkan makanan kurang garam itu tawar dan tidak enak.

"Oleh itu, perlu melatih diri dan lidah supaya tidak terbiasa dengan makanan masin," katanya.

Menurutnya, satu lagi sebab tidak digalakkan makan mi segera ialah kerana tidak mengetahui kandungan bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan makanan berkenaan.

HADKAN kanak-kanak makan mi segera.
HADKAN kanak-kanak makan mi segera.

"Di Malaysia baru-baru ini, ada produk mi segera ditarik balik daripada pasaran kerana mengandungi bahan kimia yang tidak sepatutnya ada dalam produk berkenaan.

Baru-baru ini, KKM juga mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat berkenaan untuk penarikan balik secara sukarela dua produk mi segera yang berkaitan dari pasaran tempatan kerana mengandungi 'ethylene oxide.'

"Di pasar raya ada menjual pelbagai jenis dan jenama mi segera termasuk dari luar negara. Ramai membeli makanan ini setiap kali tular," katanya.

Jelasnya, tidak menafikan walaupun ramai yang memakan mi segera tetapi ramai bertanya sama ada makanan segera itu boleh makan atau sebaliknya.

"Mi segera boleh dimakan, tetapi pengambilannya perlu dihadkan.

"Sekiranya ingin makan mi segera juga, disarankan menambah sedikit sumber protein dan sayur-sayuran yang mengandungi serat dan vitamin supaya makanan ini menjadi lebih berkhasiat.

"Tidaklah mi segera yang dimakan sekadar mengandungi garam dan lemak semata-mata," katanya.

Katanya lagi, mungkin ada yang memilih membeli mi segera perisa sayur-sayuran kerana menyangka ia sihat tetapi sebenarnya hanyalah perasa sahaja.

"Begitu juga dengan sayur=sayuran kering yang terdapat dalam bungkusan mi segera. semakin banyak dijual dalam pasaran dan ramai juga menyangka ia menyihatkan.

"Sebenarnya sayur-sayuran kering ini sudah melalui proses pengeringan yang mengurangkan zatnya.

"Zat pada sayuran kering ini hanyalah sedikit dan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan harian pengguna.

"Oleh itu adalah lebih baik menggunakan sayur-sayuran segar untuk masakan kerana dapat memberikan keperluan nutrien yang optimum," katanya.

SATU bungkus mi segera mengandungi satu sudu teh garam.
SATU bungkus mi segera mengandungi satu sudu teh garam.

Sementara itu Pegawai Sains Pemakanan Bahagian KKM, Nursyukrina Muhamad Norrahim berkata, umum mengetahui mi segera adalah makanan tidak sihat, namun ada pengguna bertanya jika terdapat mi segera sihat dijual dalam pasaran.

Katanya, pengguna tidak perlu mempercayai bulat-bulat, sebaliknya bertindak bijak dengan membaca label pada bungkusan makanan berkenaan bagi mengetahui kandungannya.

"Digalakkan membaca label ini kepada semua produk makanan dan minuman yang dijual dalam pasaran, tidak terhad terhadap mi segera.

"Pembacaan ini bagi membuat perbandingan di antara produk A dan B untuk pilihan lebih sihat," katanya.

Nursyukrina berkata, terdapat lima perkara untuk dilihat pada label bungkusan makanan atau minuman.

"Perkara pertama ialah ikon tenaga. Jika pada kotak jus oren tertera maklumat 86 kilokalori (kcal) dan empat peratus.

"Ia bermaksud satu hidangan produk ini akan menyumbang empat peratus keperluan tenaga harian," katanya.

Katanya, maklumat kedua adalah panel maklumat pemakanan. Dalam bungkusan setiap produk ada jadual yang mana kebiasaannya menyatakan per 100 mililiter (ml) atau per 100 gram (g).

"Tujuannya boleh buat perbandingan kandungan nutrien antara jenama A dan B. Selain itu juga untuk lihat kandungan gula serta garam.

"Pengguna kena tahu membaca label supaya wang dibelanjakan ini berbaloi dan usah terpedaya dengan taktik pemasaran penjual," katanya.

Menurutnya, perkara ketiga ialah senarai ramuan yang dilihat mengikut susunan. Untuk ramuan paling hadapan adalah paling banyak terkandung dalam produk berkenaan.

"Maklumat keempat adalah akuan seperti menyatakan produk itu rendah gula atau tinggi kalsium.

"Akuan ini juga penting untuk menyemak maklumat pemakanan produk kerana ada kalanya akuan ditulis adalah sebaliknya.

"Malah akuan pada kotak minuman ditulis rendah gula tetapi berkemungkinan masih tinggi jika dibandingkan dengan produk yang lain. Oleh itu, jadilah pengguna bijak dan baca label pemakanan sebelum membeli.

"Ini kerana ada peniaga tidak bertanggungjawab memanipulasi produk demi keuntungan," katanya.

Katanya lagi, maklumat terakhir ialah logo pilihan lebih sihat yang hanya dikeluarkan KKM.

"Maksudnya produk yang bawa logo pilihan lebih sihat ini, adalah lebih sihat dalam kategori produk yang sama sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 7:00 AM