SUDU itu dibangunkan oleh syarikat Kirin Holdings Co di Jepun. FOTO Kyodo
SUDU itu dibangunkan oleh syarikat Kirin Holdings Co di Jepun. FOTO Kyodo
Agensi

Tokyo: Satu sudu yang meningkatkan rasa masin melalui rangsangan elektrik dilancarkan oleh Kirin Holdings Co di Jepun bulan lalu, lapor Kyodo News.

Sudu itu bertujuan untuk orang ramai yang bergelut untuk mengurangkan pengambilan garam mereka.

Sudu Garam Elektrik itu berfungsi dengan mengalirkan arus elektrik yang lemah melalui hujung peranti.

Ia membolehkan pengguna memilih intensiti pilihan mereka daripada empat tahap, kata syarikat yang mengeluarkan produk berkenaan.

Sudu itu ditawarkan pada harga AS$126 (kira-kira RM590). Ia dikomersialkan selepas syarikat itu pada 2022 berkata, ia membangunkan peranti seperti penyepit untuk mengubah persepsi rasa menggunakan arus elektrik.

Ia dibangunkan bersama Homei Miyashita, seorang profesor di Universiti Meiji yang memenangi hadiah Pemakanan Ig Nobel tahun lepas dengan seorang lagi saintis Jepun.

Syarikat itu mula menerima tempahan untuk sudu itu di kedai dalam talian rasminya, mulai 20 Mei lalu, dengan 200 unit tersedia. Kirin juga sudah membangunkan mangkuk pengubah rasa.

Penggunaan garam yang berlebihan menjadi isu kesihatan yang penting di Jepun, dengan pengambilan garam harian oleh seseorang yang berumur 20 tahun ke atas adalah 10 gram sehari. Ia jauh lebih tinggi daripada lima gram yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, menurut kementerian kesihatan negara itu.

Namun, orang yang cuba mengehadkan pengambilan garam mereka sering mengadu bahawa makanan menjadi tawar, menurut tinjauan yang dijalankan oleh Kirin pada 2021.

"Melalui peranti ini, kami menyasarkan untuk merealisasikan masyarakat di mana orang ramai boleh meningkatkan gaya hidup mereka dengan cara yang lazat," kata syarikat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 12:23 PM