ORANG ramai berkumpul di kawasan tanah runtuh di Maip Mulitaka, Papua New Guinea. FOTO AFP
ORANG ramai berkumpul di kawasan tanah runtuh di Maip Mulitaka, Papua New Guinea. FOTO AFP
Reuters

Sydney: Lebih 300 orang dan lebih 1,100 rumah tertimbus akibat tanah runtuh yang meratakan sebuah kampung terpencil di utara Papua New Guinea, lapor media tempatan pada Sabtu.

Beratus-ratus orang dikhuatiri terkorban dalam kejadian yang berlaku di kampung Kaokalam di Wilayah Enga, kira-kira 600 km (370 batu) barat laut ibu negara Port Moresby, sekitar jam 3 pagi pada Jumaat.

Tanah runtuh di negara Pasifik utara Australia itu telah menimbuskan lebih daripada 300 orang dan 1,182 rumah, demikian dilaporkan oleh Papua New Guinea Post Courier, dengan merujuk kepada komen seorang ahli parlimen negara itu, Aimos Akem.

Bagaimanapun, Akem tidak memberi makluman segera kepada permintaan Reuters untuk komen melalui media sosial.

Lebih daripada enam kampung terkesan oleh tanah runtuh di kawasan Mulitaka wilayah itu, Kata Jabatan Urusan Luar Negeri dan Perdagangan Australia (DFAT) pada Sabtu.

"Kedutaan Besar Australia di Port Moresby sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa PNG untuk penilaian lanjut mengenai tahap kerosakan dan korban," kata seorang jurucakap DFAT dalam satu kenyataan.

Stesen Penyiaran Australia ABC melaporkan pada Sabtu bahawa empat mayat sudah ditemui dari kawasan itu selepas pasukan kecemasan tibsampai di kawasan yang jarang penduduk itu, yang mana jumlah kematian dijangka meningkat.

Tanah runtuh itu juga menghalang akses ke lebuh raya, menjadikan helikopter satu-satunya cara untuk mencapai kawasan tersebut, kata stesen penyiaran itu.

Rakaman media sosial yang dimuatnaik oleh penduduk Ninga Role menunjukkan orang ramai memanjat di atas batu-batu, pokok yang tumbang dan timbunan tanah untuk mencari mangsa yang masih hidup.

Suara wanita yang menangis dapat kedengaran di latar belakang.

Perdana Menteri James Marape berkata pegawai bencana, Angkatan Pertahanan dan Jabatan Kerja Raya dan Lebuhraya membantu dalam usaha bantuan dan pemulihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 10:45 AM