PESAWAT ringan yang digunakan untuk penyeludupan dadah.
PESAWAT ringan yang digunakan untuk penyeludupan dadah.
Agensi

Sydney: Nahas sebuah pesawat ringan di Papua New Guinea pada akhir bulan lalu membongkar rahsia ia digunakan untuk menyeludup 500 kilogram kokain bernilai AS$80 juta (kira-kira RM338 juta).

Ketika kejadian, pesawat Cessna itu dikatakan terhempas tidak lama selepas berlepas dari sebuah landasan terpencil di Papa Lea Lea di utara Port Moresby.

Pihak berkuasa Papua New Guinea kemudian menemui bangkai pesawat, tetapi tidak menemui kru atau penumpang.

Malah, tiada muatan kargo ditemui di dalam pesawat berkenaan.

The Guardian melaporkan pemeriksaan mendapati pesawat itu didaftarkan atas nama individu yang sudah meninggal dunia.

Susulan nahas terbabit, pihak berkuasa Papua New Guinea dan Australia melakukan siasatan lanjut.

Tidak lama selepas kejadian, juruterbang pesawat berkenaan yang juga warganegara Australia menyerah diri di Konsulat Australia di Papua New Guinea.

Ia kemudian membawa kepada penahanan lima individu di Queensland dan Victoria di Australia.

Polis turut menemui 28 beg berisi kokain yang cuba diseludup dari Papua New Guinea ke Australia berhampiran lokasi nahas terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 6:32 AM